Skuad olahraga Malaysia mula menyerlah 

Oleh Staff Writer 19 September 2017 291
Skuad olahraga Malaysia mula menyerlah 
Skuad olahraga negara sudah mula mempamerkan belang selepas merangkul empat emas dalam Sukan Para ASEAN 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Emas pertama hari ini disumbangkan oleh Eddy Bernard menerusi acara lompat jauh lelaki T37 dengan catatan 5.76m yang juga lompatan terbaiknya.

Ia adalah emas kedua buat Eddy selepas mengungguli acara 100m T37,  semalam.

"Melihat kepada saingan tadi, saya tidak berapa gementar. Saya rasa baik sahaja. Saya melakukannya seperti ketika latihan," katanya. 

Hemala Devi Kutty, yang beraksi dalam acara lontar peluru F12, menggondol emas selepas melakukan catatan 10.09m.

Bagaimanapun, ia gagal menandingi lontaran terbaiknya, iaitu 10.54m, apabila diganggu demam.

"Saya rasa gembira. Hari ini saya tidak yakin saya mampu menang emas kerana ia menggunakan sistem mata di mana saya mesti lawan dengan B1 (kategori bawahan).

"Kalau peserta dari kategori itu melakukan catatan hampir sama, mungkin saya tewas tetapi hari ini saya melakukan 10.9m, kiranya saya menang," katanya.

Hemala selepas ini akan beraksi dalam rejam lembing pada Khamis ini sekalipun mengakui tidak melakukan latihan dalam acara itu.

Selain itu, turut menyumbang emas hari ini ialah Mohd Irwan Hasnul dalam acara lompat jauh T38 dengan catatan 5.49m dan Mohd Zulzainal Abidin (54.80s) dalam acara 400m T13.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen