Zainal mahu bawa olahraga negara ke tahap lebih tinggi

Oleh Staff Writer 13 September 2017 213
Zainal mahu bawa olahraga negara ke tahap lebih tinggi
Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, bertekad mahu membawa sukan olahraga negara ke tahap lebih tinggi selepas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengekalkan khidmatnya sehingga September tahun depan.

Kontrak asal Zainal selaku ketua jurulatih negara akan berakhir 30 September ini, bagaimanapun, Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, semalam mengesahkan khidmatnya akan dilanjutkan hingga tamat Sukan Asia.

Zainal ketika dihubungi Nadi Arena menyambut baik keputusan itu, sekali gus menanam keazaman untuk memastikan kesinambungan atletnya dalam Sukan SEA diteruskan ke peringkat lebih tinggi.

"Kami akan teruskan formula itu tetapi pujian harus diberikan kepada semua jurulatih untuk acara-acara yang memenangi pingat. 

"Bagi pihak saya, saya hanya memantau latihan yang diberikan dan memastikan latihan itu bertepatan dan bersesuaian untuk membantu atlet mencapai prestasi terbaik. Jadi, untuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel nanti, formula itu akan kami teruskan," katanya.

Skuad olahraga negara meraih pencapaian terbaik sejak 1999 selepas menghimpunkan keseluruhan lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa dalam temasya KL2017.

Sentuhan Zainal juga berjaya memastikan pencapaian hebat atlet seperti Nauraj Singh, Muhammad Irfan Shamsuddin, Jackie Wong dan Khairul Hafiz Jantan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen