Bottas serius cabar kejuaraan Formula Satu 2020 -- Hakkinen

Oleh Nafis Abdullah 31 Mei 2020 38
Bottas serius cabar kejuaraan Formula Satu 2020 -- Hakkinen
Valtteri Bottas kini lebih serius untuk mencabar kejuaraan dunia Formula Satu (F1) bagi musim 2020, kata penasihatnya, Mika Hakkinen.

Wabak coronavirus menyaksikan perlumbaan pembukaan, Grand Prix (GP) Australia, dibatalkan pada Mac lalu dan kini saingan tampak akan bermula di Austria pada 5 Julai depan.

Bottas bakal membuktikan kemampuannya bersama Mercedes tatkala kontraknya bakal tamat hujung musim ini dan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, bakal bebas selepas bersetuju meninggalkan Ferrari pada tahun depan.

Namun, rakan sepasukannya, Lewis Hamilton, berharap dapat menjulang kejuaraan dunia keempat berturut-tutut dan menjadikan jumlah keseluruhan kepada tujuh kejuaraan, menyamai rekod dipegang oleh Michael Schumacher.

Bagaimanapun, juara dunia dua kali, Hakkinen, percaya Bottas kini di landasan terbaik untuk mencabar perebutan status juara bagi tahun 2020.

"Valtteri mempunyai posisi yang bagus dalam Mercedes. Dia pemandu hebat dan saya yakin dia kini lebih bagus," kata Hakkinen.

"Saya meletakkan harapan tinggi untuk dia bergelar juara dunia tahun ini dan itu yang dikejar selama beberapa tahun, memberikannya kualiti. Dia bekerja keras."


Bercakap mengenai Vettel, Hakkinen menambah: "Usia bukan masalah untuknya kerana dia masih muda.

"Dia mengalami kekecewaan bersama Ferrari terutama kerjasama dalam pasukan. Dia tidak menikmatinya di dalam pasukan kerana sentiasa dikritik. Apabila anda dalam pasukan, ia perlu dikongsi.

"Jika dia mahu menang, ia agak sukar."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen