Covid-19: McLaren sahkan semua ahli pasukan F1 telah pulang

Oleh Staff Writer 27 Mac 2020 59
Covid-19: McLaren sahkan semua ahli pasukan F1 telah pulang
McLaren mengesahkan kesemua ahli pasukan yang menjalani proses pengasingan di Australia telah pulang ke rumah masing-masing.

Skuad Formula Satu (F1) telah menarik diri daripada saingan di pembuka musim di Melbourne selepas salah seorang ahli pasukan diuji positif coronavirus.

Perlumbaan di Australia itu akhirnya dibatalkan dan kempen F1 masih belum diumumkan tarikh pembukaan susulan wabak COVID-19.

McLaren yang berpangkalan di Surrey, England, mendedahkan menerusi Twitter bahawa mereka yang diasingkan termasuk pengurusan yang kekal bersama pasukan kini telah pulang ke rumah.

"Kami berbesar hati untuk mengesahkan bahawa semua ahli pasukan yang menjalani proses kuarantin di Melbourne termasuk pihak pengurusan yang bersama mereka kini telah selamat pulang ke rumah, Rabu lalu," kata wakil McLaren.

"Terima kasih sekali lagi bagi pihak pasukan atas sokongan dan ucapan yang diberikan."


Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Chase Carey, telah menjelaskan perancangan 15 hingga 18 perlumbaan bagi kalendar 2020 akan dilanjutkan sehingga Disember depan.

Azerbaijan menjadi saingan terbaru yang ditangguhkan pada Isnin lalu dan mengikut jadual asal, perlumbaan di Kanada bakal menjadi destinasi seterusnya yang dijadualkan pada 14 Jun depan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen