Hamilton mampu capai rekod Schumacher -- Montoya

Oleh Nafis Abdullah 18 April 2020 50
Hamilton mampu capai rekod Schumacher -- Montoya
Lewis Hamilton berpeluang cerah untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod tujuh kejuaraan Formula Satu (F1) milik Michael Schumacher, kata Juan Pablo Montoya.

Selepas menduduki tangga kedua carta pelumba dalam musim pertamanya bersama McLaren, Hamilton meraih kejuaraan pertama pada tahun 2008.

Dia berhijrah ke Mercedes pada 2014 dan meraih kejuaraan keenamnya pada musim lalu, meletakkanya hanya satu ketinggalan berbanding legenda Ferrari, Schumacher.

Walaupun wabak coronavirus menyebabkan saingan 2020 terpaksa ditangguhkan, bekas pemandu McLaren, Montoya, yakin Hamilton berupaya mencipta sejarah apabila kempen bermula.

"Schumacher memiliki karier hebat, menjalankan tugas dengan baik bersama Ferrari dan saya fikir Hamilton telah melakukan perkara sama dengan Mercedes. Dia meraih perjalanan karier yang sensasi," katanya.

"Dia berpindah pasukan pada waktu yang tepat dan itu menjadi kunci utama. Ia berfungsi buat dirinya dan dia bijak menggunakan peluang. Dia menjalankan tugasnya dengan hebat.

"Peluang untuk dia meraih kejuaraan ketujuh sangat cerah. Ia bergantung kepada tempoh mahu beraksi."

Hamilton memiliki kontrak bersama Mercedes sehingga penghujung musim ini dan telah dikaitkan dengan Ferrari.

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen