Badminton: Pemain negara bersiap hadapi jadual padat 

Oleh Staff Writer 10 September 2019 322
Badminton: Pemain negara bersiap hadapi jadual padat 
"Di antara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ataupun tumpuan kepada Sukan SEA Filipina 2019."

Itu dilema sebahagian besar pemain badminton negara yang terpaksa menempuhi jadual padat untuk tempoh dua bulan seterusnya sebelum bersiap untuk menghadapi temasya dwitahunan, Sukan SEA, November depan.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mengakui jadual padat itu bakal mendedahkan barisan pemain sedia ada dengan kecederaan, namun menegaskan ia situasi yang tidak dapat dielakkan.

Badan induk itu sudah pun mengeluarkan penyertaan beberapa pemain daripada menyertai Terbuka Taiwan, minggu lalu selepas melihat isu kepenatan mula melanda barisan pemain negara sejurus tamat kempen Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, bulan lalu.

Enam kejohanan dalam tempoh dua bulan sebelum mengharungi Sukan SEA 2019 bakal mencabar kekuatan mental dan fizikal pemain, bermula dengan Terbuka China, Selasa depan. 

"Untuk bersikap adil, saya boleh mengatakan ia bukan senario sesuai untuk pemain menyertai (banyak kejohanan) tetapi pada masa sama, itulah yang kami perlu tempuhi. 

"Saya fikir kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenai jadual Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan temasya serantau yang bertembung," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pagi tadi. 

Bagaimanapun, ketua jurulatih beregu campuran, Chin Ee Hui, pula melahirkan pandangan berbeza apabila sanggup mengambil risiko untuk mengeluarkan pemainnya dalam baki kejohanan tahun ini sekiranya ada yang mengadu mengalami kecederaan.

Apatah lagi dalam Sukan SEA kelak, skuad badminton menggalas tanggungjawab untuk membawa pulang dua pingat emas.

"Bergantung kepada tahap kecederaan pemain. 

"Kalau kecederaan ringan, maka pemain akan beraksi kecuali tahap yang serius sehingga memerlukan rehat, jadi terpaksalah ia diberikan keutamaan," katanya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen