Bola sepak: Kim Swee enggan slot automatik buat tonggak skuad B-19 

Oleh Staff Writer 14 November 2019 1239
Bola sepak: Kim Swee enggan slot automatik buat tonggak skuad B-19 
Tiada sebarang jaminan daripada ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee,
terhadap enam pemain muda bagi mengisi slot 23 terbaik meskipun beraksi cemerlang dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja, minggu lalu. 


Sebelum ini, skuad kendalian Brad Maloney itu tampil dengan aksi cemerlang untuk menempah
tempat dalam pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan. 

Kim Swee memanggil enam pemain muda, Mukhairi Ajmal Mahadi, Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haiqal Adam Afkar, Umar Hakeem Suhar Redzuan, Azam Azmi Murad dan Firdaus Irman Mohd Fadhil bagi menyertai kem latihan pusat menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini. 

Kejayaan di Kemboja minggu lalu, bagaimanapun, tidak menjamin kedudukan mereka, malah pengendali skuad B-22 itu menuntut enam pemain yang baru melaporkan diri semalam supaya membuktikan prestasi terbaik dalam usaha merebut tempat.

"Jurang prestasi di antara pasukan B-19 dan B-22 adalah amat ketara.

"Dengan prestasi yang ditunjukkan, sudah tentu saya akan menilai sama ada (mereka) layak atau tidak,"
katanya di padang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini. 

Jurulatih berumur 49 tahun itu turut menjelaskan bahawa barisan pemainnya masih belum berada di tahap kecergasan yang baik dan perlu diperbaiki sebelum berlepas ke Manila. 

"Tiada sebarang kecederaan (dalam skuad saya) tetapi tahap kecergasan pemain ada yang membimbangkan. Kami masih ada tempoh 10 hari lagi (untuk membuat persiapan).

"Jadi, kami perlu memikirkan bagaimana untuk meningkatkan soal kecergasan dan taktikal pasukan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen