Jerebu tidak jejas persiapan skuad lebuh raya

Oleh Staff Writer 22 September 2019
Jerebu tidak jejas persiapan skuad lebuh raya
Keadaan jerebu di sekitar Kuala Lumpur tidak menjejaskan persiapan skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Sukan berbasikal lebuh raya tidak lagi boleh dianggap sebagai lubuk emas negara dalam temasya kali ini apabila hanya menyasarkan satu pingat emas berbanding 13 yang dimenangi dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Walaupun perancangan dan sesi latihan sukan-sukan lain tergendala akibat jerebu, jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Mohammad Yusof Abdul Nasir, menegaskan atletnya masih berada di tahap yang memuaskan dan akan terus menyertai beberapa siri kejohanan termasuk Jelajah Semenanjung, bulan depan.

"Saya dapat rasakan mungkin jerebu ini tidak lama.

"Dalam awal bulan depan mungkin ia sudah habis.

"Dalam masa yang sama, kami tetap memantau (keadaan cuaca).

"Pelumba-pelumba yang ada, kebanyakannya tiada di sini.

"Jadi, saya tidak risaulah.

"Kalau di Kuala Lumpur ada masalah, mungkin kami akan membawa mereka ke kawasan yang cuacanya lebih baik," katanya.

Antara pasukan yang telah mengesahkan penyertaan dalam perlumbaan Jelajah Semenanjung ialah skuad kebangsaan dan dua pasukan probenua negara, iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC).

Perlumbaan itu mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di bawah kategori UCI 2.1 dengan jarak keseluruhan sejauh 850.7 kilometer. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen