Joshua tidak terkesan tanpa jurulatih

Oleh Staff Writer 11 September 2019 75
Joshua tidak terkesan tanpa jurulatih
Atlet lawan pedang negara, Joshua Koh I Jie, enggan menjadikan ketiadaan jurulatih sebagai alasan untuk tidak memburu pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, November depan. 

Tahun ini merupakan tahun keenam dia tidak memiliki jurulatih, namun masih mampu meraih pingat gangsa dalam edisi di Kuala Lumpur, dua tahun lalu. 

Hakikatnya, dia hanya memiliki beberapa jurulatih sementara dalam tempoh yang berbeza.

Jaguh acara epee itu mendapat bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) untuk berlatih di Itali selama enam minggu bermula bulan depan bagi mendapatkan khidmat jurulatih di sana demi memantapkan persediaannya sebelum ke Filipina.

"Untuk kejohanan semua dah lepas, jadi (sekarang ini) hanya fokus kepada latihan fizikal, taktikal dan teknikal.

"Saya boleh bertarung dengan lebih ramai atlet lawan pedang di Itali sepanjang kem latihan itu, jadi saya dapat menyesuaikan diri dengan tahap yang lebih tinggi," katanya.

Atlet berusia 29 tahun itu akan memperkuatkan skuad epee negara bersama Isaac Seet dan Lim Jit Lan sambil berpandangan atlet dari Vietnam, Singapura dan tuan rumah sebagai pencabar utama edisi kali ini. 

"Cabaran terbesar akan datang daripada Vietnam, Singapura dan juga Filipina.

"Mereka (Filipina) adalah tuan rumah dan sudah pasti akan dapat bantuan daripada penyokong," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen