Julian pertaruh teknik baru demi pertahan emas

Oleh Staff Writer 24 Ogos 2019 690
Julian pertaruh teknik baru demi pertahan emas
Peluncur ais negara, Julian Yee, mempertaruhkan teknik baru lompatan empat pusingan demi mempertahankan pingat emas Sukan SEA bagi acara figure skating yang dimenanginya dua tahun lalu.

Muncul selaku atlet luncur ais pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk, Julian membawa kredibiliti tersendiri menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Malah, dia mengakui turut membuat penambahbaikan selain teknik baru dalam persembahannya demi menjamin kutipan mata yang lebih tinggi daripada peserta lain.

"Apa yang saya buat itu adalah lompatan baru yang dipanggil quadruple jump.

"Jadi, saya akan lompat dan berpusing sebanyak empat kali.

"Sebelum ini, saya hanya dapat buat tiga setengah (pusingan).

"Jika anda dapat buat banyak pusingan, markah anda akan lebih tinggi.

"Tapi anda perlu pastikan yang anda melakukannya dengan baik.

"Kalau anda jatuh, markahnya akan kurang," katanya menjelang temasya dwitahunan itu yang tinggal 97 hari lagi.

Merujuk kepada persaingan yang akan dihadapinya, terutama melibatkan atlet dari Filipina, Thailand dan Indonesia, peluncur berusia 22 tahun itu mengakui kelebihan tuan rumah yang sudah pun menjalani latihan penuh di venue pertandingan. 

"Mereka ada kelebihan selaku tuan rumah tetapi saya pun tidak tahu siapa (wakil mereka) yang akan bertanding kerana senarai penuh (perserta) masih belum keluar.

"Jadi, saya hanya perlu berharap dan fokus kepada diri saya," tambahnya. 

Dia yang menjalani latihan penuh di Toronto, Kanada, pulang ke tanah air buat seketika bagi mengambil kesempatan untuk bersama skuad negara yang kini giat menjalani latihan menjelang Sukan SEA. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen