Karate-do: Syakilla kena berdisplin, ingat jurulatih negara 

Oleh Staff Writer 20 September 2019
Karate-do: Syakilla kena berdisplin, ingat jurulatih negara 
Jurulatih skuad karate-do negara, Ali Reza Souleymani, menegaskan disiplin menjadi keutamaan jika Syakilla Salni Jefry Krisnan perlu berlatih di bawah bimbingannya selepas ini.

Ia susulan Majlis Sukan Negara (MSN) bertindak menamatkan khidmat jurulatih, Andris Vasiljevs, selepas gagal membantu 'diva' karate negara itu beraksi dalam kategori kumite bawah 55 kilogram dalam Kejohanan K1 di Tokyo, Jepun, baru-baru ini.

Bagaimanapun, jurulatih dari Iran itu menjelaskan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) belum memberi sebarang keputusan berkenaan perkara itu.

Meskipun atlet berusia 27 tahun itu berdepan tugas sukar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, namanya masih tersenarai untuk menyertai Sukan SEA Filipina, November depan. 

"Disiplin amat penting buat atlet. 

"Syakilla sentiasa berdepan masalah berat badan. 

"Saya tidak pasti apakah yang diputuskan antara MSN, MAKAF dan pihak lain," katanya dalam latihan di  MSN, Bukit Jalil, hari ini. 

Sementara itu, Ali mengakui berdepan cabaran bagi menyenarai pendek nama atlet untuk dipertaruhkan dalam temasya dwitahunan itu ekoran kekurangan kejohanan sebagai pendedahan buat mereka.

"Ada dalam kalangan mereka terdiri daripada atlet yang sangat mentah. 

"Mereka perlukan pengalaman, pendedahan, pertandingan dan rakan sepelatih. 

"Setakat ini, kami mempunyai masalah kerana hanya berlatih di dalam negara  tetapi MAKAF telah berjanji akan menghantar mereka untuk menyertai kejohanan."



 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen