Lawan Pedang: Rusni yakin atlet negara mampu raih emas di Manila

Oleh Staff Writer 19 September 2019
Lawan Pedang: Rusni yakin atlet negara mampu raih emas di Manila
"Percaturan yang betul akan buahkan emas", itu laungan Presiden Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF), Rusni Abu Hassan, apabila ingin membangunkan semula imej sukan lawan pedang selepas beberapa pencapaian hambar dalam Sukan SEA.

MFF, yang dilanda kemelut dana sebelum ini akibat hanya mampu meraih satu pingat gangsa dalam edisi 2017, kini mampu bernafas lega apabila berjaya mendapatkan dana sebanyak RM100,000 daripada pihak swasta.

Rusni yakin dengan dana yang diterima, separuh daripadanya akan digunakan bagi membantu mempersiapkan atlet negara membawa pulang pingat emas buat Malaysia dalam Sukan SEA di Filipina, November depan.

"Skuad negara harus bijak melakukan percaturan bagi meghadapi saingan di Manila nanti. Peluang untuk meraih pingat adalah cerah dan ia mampu memberikan keputusan positif kepada kami," katanya. 

Sementara itu, atlet lawan pedang negara, Joshua Koh I Jie, bakal berlatih di Itali selama enam minggu bermula 10 Oktober depan bagi merealisasikan misi pingat emas.

"Saya pernah berlatih di Itali dan sudah menyesuaikan diri di sana. Saya berharap rakan sepelatih di sana dapat membantu saya meningkatkan mutu persembahan sebelum menghadapi Sukan SEA," katanya.

Pencapaian terbaik skuad lawan pedang negara dalam temasya dwitahunan itu adalah dalam edisi 2011 di Indonesia dengan membawa pulang dua pingat emas.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen