Olahraga: Kirthana optimis kilauan medal 

Oleh Staff Writer 16 September 2019 28
 Olahraga: Kirthana optimis kilauan medal 
"Harapan baru." Itu laungan atlet lompat kijang negara, R. Kirthana, apabila dipertaruhkan buat pertama kalinya dalam acara lompat jauh selepas gagal meraih sebarang pingat dalam dua penampilan Sukan SEA sebelum ini.

Selepas mengesahkan slot, fokusnya kini untuk mengalahkan lawannya dari Thailand, Parinya Chuaimaroeng, dalam acara lompat kijang selepas kali terakhir menamatkan aksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di tempat keempat. 

Menurutnya, Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar, April lalu membantunya membaca rencana permainan saingannya itu dan optimis untuk menghadiahkan pingat kepada negara dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan. 

Penampilan ketiganya membawa kelainan apabila atlet kelahiran Perak itu buat pertama kalinya tampil dalam dua acara kerana selain lompat kijang, iaitu lompat jauh. 

"Dalam Kejohanan Asia yang lalu, saya pernah bertembung dengan lawan yang bakal saya hadapi dalam Sukan SEA kelak.

"Sebelum ini, saya agak takut dengannya tetapi sekarang tidak lagi," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. 

Sementara itu, jurulatih negara, Ahmad Firdaus Salim, menganggap persembahan anak didiknya itu dalam Terbuka Kuala Lumpur bulan lalu menerusi catatan peribadi terbaik 7.72 meter merupakan alasan utama dia menyertai dua acara dalam temasya dwitahunan itu. 

Skuad olahraga kebangsaan bakal menghadapi dua kejohanan, iaitu Terbuka Macau pada 3 hingga 5 November depan selain Kejohanan Innotex, selang beberapa hari sebagai aksi pemanas badan sebelum temasya serantau berkenaan. 

"Yang pertama, kami memasukkan nama Kirthana dalam lompat jauh memandangkan catatannya adalah yang terbaik.

"Kedua, jadual yang dikeluarkan oleh tuan rumah membolehkan dia bertanding dalam kedua-dua acara, kalau tidak kami hanya mahu dia fokus dalam lompat kijang," kata jurulatih itu. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen