Sepak takraw: ASTAF beri jaminan sifar kontroversi

Oleh Staff Writer 19 September 2019
Sepak takraw: ASTAF beri jaminan sifar kontroversi
Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memberi jaminan sifar kontroversi dalam penganjuran acara sepak takraw dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Antara inisiatif ASTAF untuk merealisasikan hasrat itu ialah menerusi perkongsian presidennya, Datuk Abdul Halim Kader, dengan mewajibkan penggunaan sistem sokongan video.

Pendekatan itu diharapkan dapat mengurangkan isu berbangkit berkait dengan prestasi pengadil, bermula dengan peringkat perebutan pingat dalam temasya dwitahunan itu.

"Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHILSOC) harus menggunakan sistem sokongan video bagi saingan separuh akhir dan akhir. Kami mahu mengelakkan insiden yang berlaku sebelum ini dan memastikan sifar kontroversi," katanya.

Bagaimanapun, peraturan pertandingan yang membataskan satu negara untuk beraksi dalam dua acara dikekalkan dalam Sukan SEA.

Ini termasuk mengekalkan format kiraan mata sedia ada ketika wujud usul untuk menggunakan sistem 15 mata.

"Pihak ASTAF telah bermesyuarat di Bangkok sebelum ini dan memutuskan penggunaan sistem 21 mata, sama seperti dalam penganjuran Liga Sepak Takraw (STL)," jelasnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen