Silat: Malaysia bakal tuai emas di Manila

Oleh Staff Writer 8 November 2019 47
Silat: Malaysia bakal tuai emas di Manila
Pesilat senior negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, optimis skuad muda kebangsaan bakal menuai pingat dalam Sukan SEA di Filipina bermula hujung bulan ini.

Perkara itu tampak lebih realistik apabila rata-rata penglibatan pasukan silat muda negara menghadirkan pingat emas, sekali gus menjadi johan keseluruhan dalam Kejohanan Silat Antarabangsa Terbuka Malaysia 2019. 

Siti Rahmah menyifatkan penglibatan barisan muda dalam Sukan SEA Filipina sebagai sesuatu yang perlu diutamakan untuk pendedahan awal mereka. 

Antara yang menyajikan aksi mantap dalam kejohanan itu ialah wakil acara tunggal, Luqman Laji, selain ganda putra, Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga. 

"Ini merupakan perkara yang positif apabila menurunkan pesilat-pesilat muda bagi mendapatkan pengalaman, namun saya percaya mereka mampu menghadirkan keputusan yang positif di Manila nanti," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesilat senior, Mohd Al-Jufferi Jamari, yang pernah menjadi juara dunia pada tahun 2016 berkongsi pengalaman bermula sebagai pesilat negara. 

"Pada pendapat saya, mereka tidak perlu gementar ketika beraksi dalam Sukan SEA nanti, sebaliknya perlu bersemangat untuk mendapatkan kemenangan.

"Sebagai atlet yang masih baru, mereka tidak memikul tekanan dan itu mampu membantu mereka untuk tampil beraksi dengan lebih cemerlang," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen