Tenis: Jurulatih ambil risiko senarai pemain cedera 

Oleh Staff Writer 14 November 2019 62
Tenis: Jurulatih ambil risiko senarai pemain cedera 
Ketua jurulatih skuad tenis kebangsaan, Suresh Menon, tetap akan menyenaraikan tiga tonggak -- Jawairiah Noordin, Syed Agil Syed Naguib dan Neoh Khai Keat -- dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini biarpun mengalami kecederaan. 

Jawairiah masih belum pulih daripada kecederaan kaki kiri sejurus pulang daripada kejohanan di China bulan lalu manakala Syed Aqil dan Khai Keat pula mengalami kekejangan sehingga perlu dikejarkan ke hospital ketika bersaing dalam Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur semalam. 

Namun, Suresh tiada pilihan lain selain tetap mempertaruhkan kudrat mereka dalam temasya edisi ke-30 itu sebagai usaha untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat gangsa daripada tiga acara yang disertai.

"Kecederaan itu sebenarnya tidaklah seteruk yang kami sangkakan walaupun ia menimbulkan kebimbangan. 

"Berikutan kekejangan yang dialami Syed Agil dan Khai Keat, maka timbul kebimbangan terhadap
kecergasan mereka tetapi ada banyak sebab ia berlaku. 

"Tetapi strategi saya adalah mudah. Setiap pemain mempunyai peranan dan saya tahu apa peranan Syed
Agil dan dia tidak akan bermain dalam acara perseorangan kerana dia adalah pemain yang bagus dalam
acara beregu," katanya di Pusat Tenis Nasional Tun Razak hari ini.

Kesemua atlet tenis negara yang akan ke Filipina mendapat suntikan semangat apabila menerima penajaan bernilai RM300,000 daripada Forest City yang bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM).

"Mereka mahu membantu persiapan kami menghadapi Sukan SEA. 

"Ia sebenarnya bermula sejak Ogos lalu dan kami kini ke hadapan dalam soal ini," kata Presiden LTAM,
Mirzan Tun Dr. Mahathir.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen