Murray perlukan masa kembali ke acara perseorangan

Oleh Staff Writer 13 Ogos 2019 671
Murray perlukan masa kembali ke acara perseorangan
Juara tiga grand slam, Andy Murray, memerlukan masa untuk kembali ke tahap terbaik setelah memilih untuk tidak bermain dalam acara perseorangan dalam Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan datang.

Murray menamatkan penantiannya untuk beraksi dalam acara itu menerusi penampilan dalam Terbuka Western & Southern, yang menyaksikannya tewas 4-6, 4-6 kepada Richard Gasquet dalam pusingan pertama, awal pagi tadi. 

Ia adalah aksi perseorangan yang pertama buat pemain British itu sejak Terbuka Australia, Januari lalu, selepas menjalani pembedahan pinggul yang meletakkan kerjaya bekas bintang nombor satu dunia itu dalam keraguan yang serius.

Walaupun kembali ke kancah perseorangan, pemain berusia 32 tahun itu mengetepikan peluang tersebut dalam Terbuka AS sementara akan berentap dalam dua acara di Flushing Meadows, iaitu acara beregu dan beregu campuran.

"Kami berhasrat untuk mengekalkan 'peluang khas' ini ketika kejohanan semakin menghampiri untuk melihat sejauh sejauh mana tahap saya selepas mengharungi beberapa pertandingan dan menjalani sedikit latihan," kata juara Terbuka AS 2012 itu.

"Keputusan ini dibuat bersama-sama pasukan saya. Saya tidak mahu mengambil peluang khas ini kerana saya tidak tahu bagaimana saya akan rasakan selepas pertarungan. Saya perlu cuba mengharungi beberapa pertarungan lagi. "

Murray, yang kelihatan berkarat ketika menentang Gasquet, menambah: "Sekiranya saya mengambil peluang khas ini dan kemudian tidak beraksi, maka orang mula akan mempersoalkan mengenai pinggul saya.

"Nampaknya saya lebih cenderung untuk tidak menyertai Terbuka AS kerana walaupun saya beraksi baik hari ini tetapi secara fizikalnya, kaki saya berasa agak berat pada penghujung pertarungan dan situasi itu mungkin tidak akan berubah dalam tempoh beberapa minggu ini."

Murray, yang memenangi gelaran beregu di samping Feliciano Lopez ketika kembali ke Jelajah ATP di Kelab Queen, Jun lalu, berkata: "Saya sudah tidak beraksi selama tujuh bulan, malah sebelum itu, saya berdepan kesukaran untuk beraksi. 

"Saya tidak terbabit dalam banyak perlawanan sepanjang tempoh 18 bulan yang lalu. Ia pasti akan mengambil masa manakala saya juga tidak banyak berlatih dalam perseorangan sehinggalah baru-baru ini.

"Saya memerlukan masa dan ia tidak akan kembali dalam tempoh seminggu ini atau dalam satu kejohanan. Ia akan menjadi proses yang panjang untuk ke sini tetapi untuk kembali ke kedudukan yang saya hajati, saya memerlukan tempoh yang lebih panjang dan bekerja lebih keras."


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen