Piala Rogers: Nadal benam Medvedev untuk gelaran kelima 

Oleh Staff Writer 12 Ogos 2019 728
Piala Rogers: Nadal benam Medvedev untuk gelaran kelima 
Rafael Nadal meraih gelaran Piala Rogers yang kelima selepas mengetepikan Daniil Medvedev dalam final di Montreal, Kanada, awal pagi tadi.

Juara bertahan itu sentiasa menerajui pertarungan itu dan juara grand slam 18 kali itu mengesahkan kemenangan 6-3, 6-0 dalam tempoh satu jam 10 minit.

Medvedev, pemain berusia 23 tahun dari Russia yang diletak sebagai pilihan kelapan, telah menikmati satu minggu yang hebat, termasuk menyingkirkan pemain nombor empat dunia, Dominic Thiem, dalam suku akhir.

Bagaimanapun, dalam pertemuan sulungnya dengan Nadal, dia mudah dibenam pemain Sepanyol itu yang menguasai set kedua menjelang Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS), hujung bulan ini. 

Nadal meningkatkan rekod sepanjang zaman untuk merangkul gelaran Masters bertaraf 1000 yang paling hampir kepada 35 -- kini mendahului dua gelaran dengan pesaing terdekat, Novak Djokovic.

Dia memenangi set pertama dengan pukulan-pukulan kencang sebelum memuktamadkan gelarannya ketika lawannya itu membuat pukulan kilas yang melangkui garisan belakang. 

Ia adalah gelaran ketiga tahun ini buat Nadal selepas meraih dua kejayaan di gelanggang tanah liat, termasuk Terbuka Perancis dan pemain berusia 33 tahun itu berkata kepada TV Tenis ATP: "Adalah sangat penting untuk kembali ke gelanggang keras dan mencipta kemenangan. Ini satu lagi gelaran penting untuk saya meningkatkan keyakinan. 

"Hari ini saya hanya mahu menikmati gelaran ini. Ia sangat penting -- ia bukan satu kejohanan yang anda mampu menangi setiap hari."

Medvedev yang tersingkir dalam aksi Terbuka Washington selepas ditundukkan Nick Kyrgios minggu lalu, menyifatkan kejohanan Masters 1000 pertamanya itu sebagai satu langkah penting dalam kariernya.

Merujuk kepada Nadal dalam majlis penyampaian trofi, Medvedev berkata: "Anda seorang juara yang hebat dan adalah menjadi satu penghormatan buat saya untuk beraksi menentang anda buat julung kalinya. 

"Sudah tentu saya mahukan keputusan yang berbeza tetapi anda begitu mengagumkan, anda telah menampilkan aksi yang luar biasa dan saya harus mengucapkan tahniah kepada anda."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen