Dalic anggap dia jurulatih kedua terbaik dunia

Oleh Staff Writer 23 Julai 2018 659
Dalic anggap dia jurulatih kedua terbaik dunia
Pengendali Croatia, Zlatko Dalic, menyifatkan dirinya sebagai pengurus kedua terbaik dunia dan bernilai lebih RM20 juta setahun.

Dalic membawa Croatia ke final Piala Dunia, di mana mereka tewas 4-2 di tangan Perancis pada 15 Julai lalu.

Sebelum itu, dia telah mengemudi pasukannya melepasi aksi play-off bertemu Greece untuk layak ke Russia walaupun berlaku masalah dalam Persatuan Bolasepak Croatia.

Selepas mengharungi kempen cemerlang di Russia, dia kini dikaitkan dengan skuad kebangsaan Jepun dan Mesir serta beberapa kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Namun, Dalic menjelaskan bayaran tinggi bukan motivasi sebenar buat dirinya walaupun wujud khabar angin mengatakan dia akan menerima tawaran lumayan untuk meninggalkan Croatia.

"Suka atau tidak, saya adalah jurulatih kedua terbaik di dunia dan jumlah RM20 juta setahun merupakan satu jumlah yang kecil," katanya.

"Wang sangat penting untuk semua orang tetapi ia bukan keutamaan saya.

"Saya memiliki baki kontrak selama dua tahun dan saya mampu kekal bersama pasukan dalam tempoh yang lama tetapi saya akan bercakap mengenainya selepas jelajah di Amerika Syarikat.

"Saya tidak mampu menghadapi golongan yang hanya menendang bola sebanyak dua kali sepanjang hidup, menentukan hala tuju hidup saya di bangku simpanan Croatia. Saya bebas tetapi tidak boleh membiarkan sesiapa mempermainkan saya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen