Kontrak Cherchesov dilanjutkan hingga 2020

Oleh Staff Writer 28 Julai 2018 1128
Kontrak Cherchesov dilanjutkan hingga 2020
Ketua jurulatih Russia, Stanislav Cherchesov, telah diberikan kontrak lanjutan selama dua tahun selepas membantu pasukan negara itu melangkah ke suku akhir Piala Dunia.

Perjanjian tersebut menyaksikan pengendali berusia 54 tahun itu akan membawa pasukan menyertai saingan Euro 2020.

Mengharungi Piala Dunia sebagai pasukan yang berada di ranking tercorot, tuan rumah mempamerkan aksi yang mengejutkan lawan apabila mara ke pusingan kalah mati dengan melakar kemenangan ke atas Mesir dan Arab Saudi.

Mereka mengejutkan juara dunia 2010, Sepanyol, dalam pusingan 16 sebelum tewas kepada Croatia menerusi penentuan sepakan penalti dalam suku akhir.

Cherchesov menerima ucapan tahniah daripada Presiden Russia, Vladimir Putin, dan beliau sudah bersedia untuk membentuk skuad yang lebih ampuh bagi kejohanan akan datang.

"Saya sangat gembira kerana kami dapat terus bekerja bersama skuad Russia," katanya.

"Kami telah mencapai satu tahap yang tinggi dalam saingan bola sepak antarabangsa dan kami mahu meneruskan semangat ini.

"Kami memahami setiap tanggungjawab yang harus dipikul dan kami akan menjalankan tugas sebaik mungkin."

Pencapaian Cherchesov membenarkan dirinya tersenarai dalam 11 pilihan untuk dinobat sebagai Jurulatih Terbaik FIFA 2018.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu mengendalikan pasukan seperti Spartak Moscow dan Legia Warsaw sebelum mengambil alih skuad kebangsaan pada Ogos 2016.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen