Pulisic ambil inspirasi persembahan Mbappe di Russia

Oleh Staff Writer 28 Julai 2018 944
Pulisic ambil inspirasi persembahan Mbappe di Russia
Pemain tengah Borussia Dortmund, Christian Pulisic, mengambil inspirasi daripada persembahan Kylian Mbappe dalam Piala Dunia.

Pulisic dan skuad kebangsaan Amerika Syarikat gagal melayakkan diri ke temasya Russia 2018 itu dan dipaksa menonton persembahan Mbappe yang membantu Perancis menjulang Piala Dunia.

Tetapi Pulisic mengagumi persembahan pemain berusia 19 tahun itu, yang meledak empat gol sebelum dinobat sebagai Pemain Muda Terbaik Piala Dunia dan mengambil positif daripada kejohanan tersebut.

"Menyaksikan sebuah kejohanan baik yang diharungi oleh Mbappe memberikan inspirasi kepada saya," kata Pulisic.

"Sememangnya saya mahu mengambil bahagian tetapi menyaksikan pemain muda seperti Mbappe beraksi cemerlang memberikan semangat kepada saya untuk menampilkan persembahan yang lebih baik musim ini," ujarnya.

Pulisic, yang menyerlah di Jerman dan semakin hampir melakukan 100 penampilan bersama Dortmund, mula dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Eropah, termasuk Liverpool.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, membawa masuk Pulisic ke dalam barisan utama Dortmund dan pemain muda itu membantu pasukan untuk mengatasi The Reds 3-1 dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa |(ICC).

"Beliau merupakan individu yang memberikan pengetahuan dan membentuk gaya permainan saya," katanya.

"Klopp seorang pengurus yang baik dan saya kagum dengan apa yang telah dilakukannya bersama Liverpool."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen