Tite kekal kemudi Brazil sehingga Piala Dunia 2022

Oleh Staff Writer 26 Julai 2018 2047
Tite kekal kemudi Brazil sehingga Piala Dunia 2022
Tite akan meneruskan tugasan sebagai ketua jurulatih Brazil sehingga Piala Dunia 2022 biarpun skuad bimbingannya terkandas di peringkat suku akhir dalam kempen di Russia yang lalu. 

Brazil merupakan salah satu pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia, namun gergasi Amerika Selatan itu kalah mengejut 1-2 di tangan Belgium dalam babak lapan terakhir temasya Russia 2018.

Bagaimanapun, Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) memilih untuk mengekalkan Tite bagi menghadapi kejohanan seterusnya yang akan berlangsung di Qatar.

CBF turut mengekalkan koordinator, Edu Gaspar, dengan tempoh yang sama.

"Mereka (Tite dan Gaspar) menepati nilai-nilai yang kami mahukan di CBF seperti bakat, kecekapan dan dedikasi," kata Ketua Eksekutif CBF, Rogerio Caboclo, dalam satu kenyataan semalam. 

Tite menggantikan Dunga pada Jun 2016 dan pengurus berusia 57 tahun itu telah merakamkan 20 kemenangan, empat seri dan hanya kalah dua kali dalam 26 perlawanan.

"Saya percaya CBF telah memberi kami syarat untuk membina suasana perpaduan dan profesionalisme yang tinggi dan itulah yang akan kami lakukan," kata Tite.

"Ini satu cabaran hebat dan kami gembira untuk menyahutnya. Kami sudah mula memberi fokus untuk perlawanan dan kejohanan seterusnya."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen