Pemain wajar ambil serius kejohanan dalaman anjuran BAM -- Roslin

By Ammar Hakim 18 September 2020 84
Pemain wajar ambil serius kejohanan dalaman anjuran BAM -- Roslin
Bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim menegaskan agar skuad kebangsaan mengambil serius setiap kejohanan dalaman yang dianjurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tatkala Piala Thomas dan Uber 2020 ditunda, prestasi sebenar yang ditonjolkan pemain mampu membantu barisan kejurulatihan menilai kekurangan mereka selepas berehat dalam tempoh panjang. 

Ia satu pandangan berbeza yang dilontarkan oleh Roslin selepas terdapat segelintir pemain menyatakan bahawa kurang motivasi menjadi faktor prestasi hambar dalam saingan Piala Presiden susulan penundaan Piala Thomas dan Uber.

Tambahnya, selepas berehat panjang tanpa aksi kompetitif, skuad negara wajib turun dengan prestasi sebenar di saingan simulasi sejak dua hari yang lalu untuk menilai tahap persediaan masing-masing sebelum menghadapi kejohanan penting nanti. 

"Bukan sahaja melibatkan Piala Thomas atau Uber. Semua telah sedia maklum semua pemain tidak beraksi dalam kejohanan. Namun mereka perlu membuat persiapan dan perlu berada di tahap terbaik sebaik kembalinya saingan seperti biasa," kata Roslin.

BAM menganjurkan Piala Presiden dalam usaha membantu skuad negara membuat persiapan sebelum terbang ke Denmark dengan menjalani format yang sama seperti Piala Thomas dan Uber.

Namun, Roslin beranggapan senarai pemain yang terpilih dilihat masih belum bersedia untuk memberi saingan dalam aksi kompetitif.

Sementara itu, pemain kebangsaan, Lee Zii Jia turut mengakui, penundaan Piala Thomas merencatkan momentum mereka dalam saingan Piala Presiden tersebut.

"Sebelum BWF menunda saingan Piala Thomas, saya memberkan tumpuan dalam persiapan dan kini, saya sendiri masih tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan," kata Zii Jia.

About Author

Ammar Hakim

Comment