Soniia dalam dilema

By Ammar Hakim 12 May 2021 1281
Soniia dalam dilema
Perseorangan wanita profesional negara, Soniia Cheah, dalam dilema untuk menyertai jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berlatih untuk persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo Julai depan.

Ini kerana dia perlu berkorban, meninggalkan segala komitmen di dunia luar dalam tempoh sebulan setengah seandainya bersetuju dengan syarat gelembung sukan yang ditetapkan.

Pihak BAM sudah pun menghubungi Soniia untuk menjemputnya menyertai sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Soniia yang sepatutnya melapor diri 30 Mei depan meminta penangguhan kerana polisi BAM ketika ini, adalah pemain tidak boleh keluar daripada pusat latihan itu bagi mengelak gelembung sukan mereka ditembusi wabak Covid-19.

"Mereka telah memberikan tarikh 30 Mei untuk menyertai kem latihan sehingga saingan Sukan Olimpik. Saya perlu kekal di sana sehingga saingan Sukan Olimpik namun sebagai pemain profesional terdapat perkara yang perlu saya lakukan serta komitmen perlu dilaksanakan," kata Soniia.

Dalam masa sama, Soniia turut mengambil keputusan saat akhir menarik diri daripada saingan Terbuka Singapura yang berlangsung 1 Jun depan memandangkan ia bakal menelan kos sekitar RM15,000.

Tanpa menyertai saingan terakhir yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Soniia dilihat tetap dalam kedudukan selesa untuk layak ke temasya itu.

About Author

Ammar Hakim

Comment