NBA: Lakers tewas lagi, LeBron cedera buku lali

By Muzaffar Musa 3 May 2021 46
NBA: Lakers tewas lagi, LeBron cedera buku lali
Los Angeles Lakers berdepan kekalahan keenam daripada tujuh perlawanan  apabila tewas 114-121 kepada Toronto Raptors, di mana bintang utama, LeBron James, menamatkan perlawanan NBA itu dengan kecederaan buku lali sebentar tadi.

James meninggalkan padang dalam suku keempat selepas mengalami kesakitan di pergelangan kaki kanannya, kecederaan sama yang mengetepikannya sehingga 20 perlawanan sebelum kembali diturunkan menentang Sacramento Kings kelmarin.

Pemenang empat kali anugerah MVP itu bermain selama 28 minit, menjaringkan 19 mata dengan tujuh rebound dan enam bantuan tetapi gagal membantu pasukan juara bertahan itu mengubah nasib mereka menjelang saingan playoff.

Penyerang Toronto, Pascal Siakam, mempamerkan aksi luar biasa dengan rekod tertinggi 39 mata, 13 rebound dan empat bantuan manakala guard veteran, Kyle Lowry, turut memperoleh 'double-double' dengan 37 mata, termasuk tiga jaringan tiga mata, dan 11 bantuan.

Keputusan itu bermakna Lakers tergelincir kepada 36-28 dan berada di tangga keenam Liga Persidangan Barat manakala Raptors pula dengan 27-38.
 
Keputusan penuh:
Milwaukee Bucks 117-114 Brooklyn Nets
Portland Trail Blazers 129-119 Boston Celtics
New York Knicks 122-97 Houston Rockets
Philadelphia 76ers 113-111 San Antonio Spurs (OT)
Phoenix Suns 123-120 Oklahoma City Thunder
Sacramento Kings 111-99 Dallas Mavericks
Miami Heat 121-111 Charlotte Hornets
Toronto Raptors 121-114 Los Angeles Lakers

 

About Author

Muzaffar Musa

Comment