LaLiga: Mental perlu kuat jika mahu bergelar juara -- Simeone

By Ammar Hakim 26 April 2021 110
LaLiga: Mental perlu kuat jika mahu bergelar juara -- Simeone
Diego Simeone mengambil tanggungjawab atas kekalahan 2-1 kepada Athletic Bilbao dan menegaskan Atletico Madrid harus menunjukkan bahawa mereka mempunyai 'kekuatan mental' untuk dinobatkan sebagai juara LaLiga.

Harapan Atleti bergelar juara berdepan halangan selepas tewas di San Mames semalam, tandukan Inigo Martinez empat minit sebelum tamat permainan menyaksikan mereka pulang tanpa sebarang mata.

Stefan Savic berjaya menyamakan kedudukan setelah 77 minit selepas Alex Berenguer meledak gol pembukaan buat Athletic.

Kekalahan itu menyaksikan Atletico sekadar berkelebihan satu mata ke atas Real Madrid dan Barcelona, namun skuad kendalian Ronald Koeman memiliki kelebihan satu perlawanan.

Simeone mengatakan pasukannya memerlukan tumpuan yang terbaik untuk memenangi gelaran.

"Kejuaraan Sepanyol biasanya dimenangi oleh Barcelona dan Real Madrid, kecuali pada tahun 2014 atau satu tahun lagi ketika kami hampir meraihnya.

"Sepanjang musim, kami memiliki banyak kelebihan mata, tetapi kami memahami bahawa Barcelona dan Madrid tidak akan keluar daripada persaingan gelaran. Sevilla juga muncul.

"Sesiapa yang mempunyai kekuatan mental lebih tinggi akan lebih dekat dengan kemenangan."
 

Simeone menurunkan Luis Suarez, Joao Felix dan Thomas Lemar sebelum perlawanan melewati 60 minit, dengan Atleti berdepan kesukaran mencetus idea ketika menyerang.

Bekas pemain tengah Argentina, Simeone, memikul tanggungjawab untuk persembahan separuh masa pertama yang hambar.

"Jelas bahawa jika ini diulang, ia lebih mendatangkan masalah bagi jurulatih daripada pasukan," kata Simeone. "Apabila jurulatih tidak menyelesaikan situasi itu, dia melakukan sesuatu yang salah. Kami akan berusaha memperbaiki diri."

Barca menang 2-1 di Villarreal, sementara juara bertahan Real Madrid seri tanpa jaringan dengan Real Betis pada Sabtu.

About Author

Ammar Hakim

Comment