Milan terima pengajaran menjelang 'Derby della Madonnina'

By Shaiful Shamsudin 19 February 2021 86
 Milan terima pengajaran menjelang 'Derby della Madonnina'
RED STAR BELGRADE 2 MILAN 2 

Pengurus Milan, Stefano Pioli, berkata pasukannya tidak memiliki karakter untuk membunuh semangat juang Red Star Belgrade selepas gol penyamaan lewat perlawanan memaksa Rossoneri untuk terikat 2-2 di Serbia.


Justeru, pengurus berbangsa Itali itu menganggap pertembungan di puncak Serie A dengan Inter akan menjadi perlawanan yang ideal untuk bangkit daripada kekecewaan dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi. 

Namun, berdasarkan prestasi di tempat lawan, Inter mungkin memiliki peluang yang lebih baik dalam misi mengakhiri penantian Scudetto dalam tempoh 11 tahun.

Gol sendiri daripada Radovan Pankov dan sepakan penalti Theo Hernandez meletakkan Milan 2-1 di depan, tetapi Pavkov menebus kesilapan awalnya itu dengan menanduk masuk gol penyamaan pada minit ketiga masa kecederaan. 

Red Star kehilangan Milan Rodic dalam separuh kedua akibat kad merah, lantas pengurus, Dejan Stankovic, yang merupakan bintang pemain tengah Inter masih mampu mengukir senyuman. 

Bagi Pioli, ini adalah perkara yang tidak mustahil boleh terjadi dalam pertemuan pertama di peringkat 32, kegusaran utamanya adalah tahap naluri membunuh anak buahnya. 


 

Pioli memberitahu Sky Sport Italia: "Kami gagal merakamkan kemenangan kerana kami tidak memiliki karakter."

Dia menjelaskan: "Kualiti untuk menjaringkan gol ketiga berkurangan. Kami sepatutnya menang dengan unggul. Kami seharusnya tidak melepaskan sebarang gol kepada mereka.

"Kemenangan di tangan kami tetapi kami perlu mencetak jaringan ketiga. Apapun, ia tetap keputusan yang baik sebagai bekalan untuk pertemuan kedua."

Aksi timbal balik itu akan berlangsung minggu depan menjelang pertembungan 'derby' Ahad ini. 

Pioli menggunakan kesempatan awal pagi tadi untuk membiarkan Zlatan Ibrahimovic dan Franck Kessie di bangku simpanan di Belgrade sementara Hakan Calhanoglu hanya muncul pada penghujung permainan di sebalik Milan bergelut memburu gol ketiga. 

"Kami perlu menganalisis perlawanan ini dengan baik dan meningkatkan prestasi," katanya lagi. 

"Ini adalah detik penting musim ini dan kami mempunyai komitmen penting. Kami perlu melakukannya dengan lebih baik."

Segala tanda kelemahan derby akan memastikan Inter terus melebarkan jurang selepas memintas seteru kota mereka itu pada akhir minggu lalu.

"Kami mempunyai kualiti sendiri, begitu juga dengan mereka," sambungnya. 

"Cabaran ini hadir pada waktu yang tepat jadi kami perlu bersedia."


 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment