Morata inspirasi kemenangan Juventus, Ronaldo cipta sejarah

By Muzaffar Musa 3 March 2021 5036
Morata inspirasi kemenangan Juventus, Ronaldo cipta sejarah
Alvaro Morata menjaringkan gol dalam tempoh seminit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian untuk membantu Juventus menewaskan Spezia 3-0 di Stadium Allianz awal pagi tadi.

Penyerang Sepanyol itu membuka jaringan selepas sejam permainan sebelum Federico Chiesa menggandakan kelebihan itu dan gol lewat Cristiano Ronaldo memastikan pungutan tiga mata penting buat juara bertahan Serie A berkenaan.

Selepas diikat seri oleh Hellas Verona dalam perlawanan terakhir, pertemuan terbaru itu menjadi aksi penting buat skuad kendalian Andrea Pirlo berkenaan walaupun mereka kelihatan tidak berada di prestasi terbaik sepanjang babak pertama yang mengecewakan.

Kemasukan Morata membantu Juve mengubah nasib mereka untuk kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Inter Milan, dan tiga mata di belakang pasukan di tangga kedua, AC Milan, dengan jaringan daripada Ronaldo menjadikan bintang Portugal itu sebagai pemain pertama menjaringkan 20 gol dalam setiap 12 musim berdasarkan lima liga utama Eropah.
 
Riccardo Marchizza hampir memerangkap Juve pada minit ketujuh, di mana dia melakukan satu pusingan dan melepaskan rembatan yang tersasar ke sebelah kiri susulan hantaran Diego Farias.

Juve kurang memberikan ancaman sebelum Ronaldo, yang melakukan penampilannya yang ke-600 dalam saingan liga, melepaskan rembatan kencang yang terkena tiang, tiga minit menjelang waktu rehat separuh masa.

Peluang terbaik pasukan tuan rumah itu tiba dari sebelah kiri apabila Weston McKennie hampir memanfaatkan hantaran ke belakang lawan dan Dejan Kulusevski melakukan hantaran lintang yang gagal disudahkan Ronaldo.

Spezia seakan-akan tidak menyedari amaran itu dan pemain gantian, Federico Bernardeschi dan Morata, bergandingan di posisi sama sebelum Morata melakukan penyudah ke arah near post dan jaringan itu disahkan menerusi video bantuan pengadil (VAR).

Ketika Morata membuatkan pertahanan Spezia tidak duduk diam, Kulusevski melakukan hantaran ke arah Chiesa dan selepas percubaan pertamanya diselamatkan, dia kemudian mendapatkan semula bola muntah itu untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Penjaga gol Juve, Wojciech Szczesny, tidak perlu melakukan sebarang aksi menyelamat sehinggalah sepakan terakhir dalam perlawanan itu, di mana dia menolak keluar bola daripada sepakan penalti lemah Andrej Galabinov bagi menafikan gol sagu hati pasukan pelawat berkenaan.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment