Chelsea berdepan Liverpool tanpa pemain utama 

By Shaiful Shamsudin 19 September 2020 3040
 Chelsea berdepan Liverpool tanpa pemain utama 
Frank Lampard tetap menghormati rakan sejawatnya di Liverpool, Jurgen Klopp, tanpa mengira insiden perbalahan mereka sebelum ini. 

Pertembungan antara Liverpool dan Chelsea selalu menjadi pertembungan sengit sejak era Jose Mourinho dan Rafael Benitez, dan Julai lalu, Liverpool muncul pemenang 5-3 ke atas lawannya itu di Anfield, tetapi perlawanan terbabit pasti akan lebih dikenang susulan perbalahan mereka di kawasan bangku simpanan masing-masing. 

Selepas perlawanan itu, Klopp mengatakan bekas pemain tengah tersebut perlu "belajar" dan bahawa tindakannya sesuatu yang "tidak manis" tetapi sejak itu kedua-duanya berusaha meredakan persengketaan tersebut menjelang pertemuan di Stamford Bridge, esok. 

Semalam, pengurus The Reds berkata dia amat menghormati seterunya itu dan Lampard membalas ucapan yang hampir sama sambil berasakan tumpuan terhadap insiden itu tidak akan membantu menjernihkan keadaan. 

"Inilah dunia yang kami ceburi," kata Lampard kepada wartawan ketika ditanya apakah perseteruan itu dibesar-besarkan. 

"Apabila melibatkan perlawanan besar, ada banyak program yang perlu diisi jadi saya faham semua kejadian boleh mengundang perhatian. 

"Saya hanya ingin mengulangi apa yang dikatakan Klopp; Saya amat menghormatinya sebagai pengurus, apa yang dilakukannya di Liverpool sangat luar biasa dan ia dicapai kerana fokus dan pemain berbakat yang mereka miliki.

"Jadi, bagi saya tidak ada apa-apa. Sifat kompetitif sepanjang 90 minit permainan boleh mengundangkan aksi panas tetapi rasa hormat yang saya miliki terhadap Klopp tidak akan pernah berubah."

 

Beberapa pemain utama kelab London itu masih belum dapat dipertaruhkan untuk aksi di tempat sendiri.

Ben Chilwell, Christian Pulisic dan Hakim Ziyech belum pulih sementara Thiago Silva masih belum tersedia, tetapi Lampard menaruh harapan tinggi terhadap apa yang akan ditawarkan oleh pemain Brazil itu sebaik dia boleh diturunkan selepas diikat secara percuma daripada Paris Saint-Germain (PSG). 

"Thiago telah berlatih bersama kami dalam tiga atau empat hari terakhir, kami hanya berusaha untuk memperbaikinya pada saat ini dan perlawanan berdepan Liverpool terlalu awal buatnya," katanya lagi. 

"Dia sememangnya seorang pemimpin, ia berlaku secara semula jadi. Dia tidak perlu bercakap bahasa yang hebat tetapi ia adalah sesuatu yang akan kami usahakan dengan segera. 

"Kami mempunyai ramai pemain dalam skuad yang bertutur dalam berbilang bahasa jadi ia boleh membantunya, Saya berharap dapat mempertaruhkannya. Dia kelihatan amat membantu pasukan.

"Dia akan membangkitkan rasa hormat. Kehadiran, sikapnya dalam latihan dan kualitinya -- dia akan memimpin. Itu sahaja yang saya boleh pinta sebagai pengendali."

Chelsea memulakan kempen EPL dengan kemenangan 3-1 di Brighton & Hove Albion sementara wakil dari Merseyside itu perlu berusaha keras untuk menundukkan pasukan promosi, Leeds United, 4-3.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment