Covid-19: Pemain dilayan seperti tikus belanda 

By Shaiful Shamsudin 16 March 2020 1449
Covid-19: Pemain dilayan seperti tikus belanda 
Wayne Rooney percaya pemain bola sepak di England dilayan seperti tikus belanda berhubung pandemik koronavirus baru (Covid-19).

Walaupun pada mulanya merancang untuk meneruskan perlawanan pada hujung minggu lalu sebelum sehari sebelum itu pengelola, Liga Perdana dan EFL, mengumumkan bahawa perlawanan telah ditangguhkan setidak-tidaknya hingga 3 April depan.

Keputusan di England itu seiring dengan tindakan liga utama di Eropah termasuk Ligue 1 yang digantung sementara manakala LaLiga, Serie A, Bundesliga ditangguhkan sehingga awal bulan depan.

 

Penyerang Derby County itu -- yang merupakan penjaring terbanyak Manchester United dan England -- percaya ia satu keputusan tepat sungguhpun kecewa kerana menganggap mereka lambat membuat keputusan.

"Selepas mesyuarat kecemasan, akhirnya keputusan yang tepat dibuat," tulisnya dalam satu ruangan di The Times.

"Sebelum itu, pemain bola sepak di England diperlakukan seperti tikus belanda. 

"Tatkala acara sukan lain seperti tenis, Formula Satu, ragbi, golf, perlawanan bola sepak di negara lain dibatalkan, kami pula diberitahu agar meneruskan saingan.

"Kami berlatih di Derby County pada Khamis lalu sambil menunggu pengumuman (Perdana Menteri) Boris Johnson. Orang ramai mulai cemas.

"Bola sepak akhirnya membuat keputusan tepat, kami terpaksa mengetepikan musim ini dan pasti akan ada orang yang tidak gembira tetapi saya fikir dalam hal ini, bola sepak menjadi perkara kedua. Ia adalah sukan. Ia sekadar sukan."

 
Masih belum jelas bagaimana musim akan diteruskan sejurus pandemik berakhir.

Esok, 55 negara anggota UEFA akan mengadakan perbincangan mengenai hala tuju Liga Juara-Juara (UCL), Liga Europa dan Euro 2020 sementara Liga Perdana Inggeris telah mengadakan pertemuan kecemasan Khamis lalu.

Begitupun, Rooney berkata pemain sedia menerima apa sahaja keputusan selagi situasi selamat untuk kembali beraksi.

"Sekiranya kehidupan rakyat berisiko, ia perlu diutamakan tanpa mengira soal siapakah yang akan memenangi gelaran liga, yang akan maraih tiket Eropah atau sama ada anda akan tersingkir mahupun dinaikkan pangkat," tambahnya.

"Kami sedia beraksi sehingga September depan jika musim ini bersambung. Itutugas kami. Selagi kami tahu kami selamat untuk beraksi dan persekitaran adalah selamat untuk penonton, maka kami akan beraksi."

Jumaat lalu, Arsenal mengesahkan pengurus, Mikel Arteta, telah diuji positif untuk di samping pemain Chelsea, Callum Hudson-Odoi.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment