Manchester United perlu dua, tiga tahun kembali ke puncak -– Rooney

By Shaiful Shamsudin 5 March 2020 648
Manchester United perlu dua, tiga tahun kembali ke puncak -– Rooney
Wayne Rooney percaya Manchester United memerlukan "dua atau tiga tahun lagi" untuk kembali ke puncak bola sepak Inggeris sambil bekas kapten The Red Devils itu menjadikan Liverpool dan Manchester City sebagai contoh.

Rooney menikmati kejayaan besar sepanjang kariernya di Old Trafford apabila muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) selain deretan trofi yang lain.

Pemain berusia 34 tahun itu, yang meninggalkan kelab berkenaan pada 2017 selepas 13 tahun, juga merupakan sebahagian daripada skuad United terakhir yang memenangi EPL pada 2012-13.

Sejak itu, United bergelut dan hanya dua kali muncul sebagai naib juara liga manakala pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer tersebut kini menduduki tangga kelima dengan jurang 37 mata berbanding pendahulu, Liverpool.

Sempena kelabnya, Derby County akan menghadapi United dalam pusingan kelima Piala FA awal pagi esok, Rooney -- turut bertindak dalam barisan kejurulatihan -- menuntut kesabaran dalam kebangkitan bekas kelabnya itu.

 
"Ia akan mengambil masa. Ia memerlukan dua atau tiga tahun lagi, saya percaya mereka perlu membawa masuk dan menyingkirkan beberapa pemain," katanya seperti yang dipetik dalam beberapa akhbar British.

"Ia tidak akan berlaku (jalan pintas). Mereka telah mencubanya bersama Louis van Gaal dan Jose Mourinho.

"Jika anda melihat kepada Liverpool dan apa yang telah mereka lakukan termasuk Manchester City, anda tidak akan membeli pasukan untuk mencabar kejuaraan. Liverpool mengambil langkah membina pasukan.

"Pep Guardiola pula secara beransur-ansur membawa lebih ramai tonggak mengikut acuan permainannya.

"Jadi United sepatutnya sabar dan cuba membina sebuah pasukan yang mampu mencabar kedua-dua pasukan itu. Peminat Manchester United perlu bersabar dengan apa yang sedang berlaku."

Selepas 28 perlawanan, United kini tiga mata di belakang Chelsea, yang menduduki tempat keempat untuk perebutan tiket UCL, menjelang 'derby' menentang Manchester City di Old Trafford, awal pagi Isnin depan.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment