Solskjaer tertanya-tanya reaksi Maguire 

By Shaiful Shamsudin 19 September 2020 764
 Solskjaer tertanya-tanya reaksi Maguire 
Ole Gunnar Solskjaer tidak dapat menjamin tahap prestasi Harry Maguire selepas ketua pasukan Manchester United itu terbabit dalam insiden memalukan. 

Maguire ditangkap dalam kejadian membabitkan polis ketika bercuti di pulau Greece,  Mykonos, bulan lalu.

Dalam perbicaraan yang berlangsung di pulau berdekatan, Syros, pemain berusia 27 tahun itu didapati bersalah atas serangan yang ganas, tidak bekerjasama ketika ditangkap dan cubaan rasuah.

Dia kemudian dijatuhi hukuman penjara yang tergantung tetapi tetap menyatakan tidak bersalah dan sedang mengemukakan rayuan bagi membatalkan hukuman itu. 

"Proses rayuannya masih berjalan," kata Solskjaer menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kandang lawan, Crystal Palace, tengah malam ini.

"Mengenali Harry, dia mempunyai perwatakan yang sangat kental jadi mudah-mudahan dia dapat membezakannya tetapi secara semula jadinya sebagai manusia, apa yang telah berlaku pada musim panas lalu akan terus bermain di mindanya tetapi anda boleh nampak kematangan Harry.

"Secara peribadinya, saya fikir dia mampu mmeberi fokus kepada bola sepaknya tetapi kemudian siapalah saya. Kita tidak dapat meramalkan sejauh mana reaksi orang lain tetapi setakat ini dia berlatih dengan baik, dia memberikan fokus.

"Mudah-mudahan proses itu akan terus berjalan dan tentu saja, kita semua tahu bahawa ia akan mengikut lunas undang-undang di sana."

Bulan ini, Solskjaer mengumumkan tonggak England itu akan tetap menjadi ketua pasukannya biarpun pengurus skuad The Three Lions, Gareth Southgate, mengetepikannya daripada skuad kebangsaan untuk menghadapi Iceland dan Denmark kerana meragui keyakinannya.

Maguire menyertai United dengan harga £80 juta (RM425.1j) daripada Leicester City tahun lalu yang merupakan rekod termahal dunia untuk seorang pertahanan. 

Dia kemudian membuat 55 penampilan sepanjang 2019-20 dan menyumbangkan tiga gol.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment