Aksi terbaik Damien musim ini -- Devan

By Ammar Hakim 3 May 2021 866
Aksi terbaik Damien musim ini -- Devan
Itu luahan pengendali Negeri Sembilan FC, K. Devan, merujuk kepada aksi luar biasa penjaga gol, Damien Lim yang bertali arus menidakkan hasrat sang Saka Biru pada aksi ke-10 Liga Perdana semalam.

Lebih manis, kemenangan keenam skuad Hobin Jang Hobin itu membolehkan mereka kembali merampas takhta liga yang menjadi milik Sarawak United tidak sampai 24 jam.

Aksi di Stadium KLFA Cheras, segalanya berpaksikan kehebatan Damien Lim.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu ternyata mengambil kesempatan membuktikan kewibawaannya di sebalik kecederaan yang dialami Muhaimin Mohamad yang menjadi pilihan utama di awal musim.

Damien mematahkan rentetan serangan PDRM khususnya daripada percubaan Bruno Suzuki sekaligus meraih perhatian positif Devan.

"Dia bermain dengan baik dengan menafikan deretan peluang pasukan lawan, ia merupakan persembahan terbaik bersama pasukan, namun tiada rahsia, kami telah berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan dalam perlawanan ini," kata Devan.

Turut mencuri tumpuan, kelincahan dan kepantasan Selvan Anbualagan yang menjaringkan gol sulung perlawanan yang juga merupakan gol pertamanya musim ini.

"Dia merupakan produk beliau Negeri Sembilan dan telah beraksi dengan cemerlang, kami berharap dia akan terus berkembang dan menjadi salah seorang pemain yang berkualiti."
 

About Author

Ammar Hakim

Comment