PJ City bukan mangsa belasahan JDT -- Safee Sali

By Muzaffar Musa 24 September 2020 10717
PJ City bukan mangsa belasahan JDT -- Safee Sali
Penyerang Petaling Jaya City FC, Safee Sali, enggan pasukannya menjadi mangsa belasahan Johor Darul Ta'zim FC (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya malam esok.

Jika lawan dari selatan tanah air itu berhajat sedemikian, Safee melaungkan amaran bahawa kehendak mereka itu tidak mungkin tercapai.

"Memang kita tahu kelebihan yang dimilki JDT dan kebanyakan jaringan yang besar itu dihasilkan mereka di laman sendiri," katanya kepada Nadi Arena.

"Apabila mereka bermain di tempat lawan, kami sebagai tuan rumah sudah pasti tidak mahu dimalukan.

"Saya fikir akan ada satu perlawanan yang menarik malam esok dan PJ City tidak akan memberi ruang untuk JDT mendapatkan lebih daripada apa yang mereka lakukan ke atas Perak dan Selangor," katanya.

PJ City terdesak mencari kemenangan kedua selepas hanya merekodkan keputusan seri dan kekalahan sejak saingan Liga Super kembali bersambung 22 Ogos lalu.

Pasukan itu semakin menghampiri zon penyingkiran dengan hanya dibezakan satu mata di atas Sabah dan Safee mengakui pasukannya tidak boleh tewas kepada JDT sambil mengharapkan mata maksimum akan diperoleh dalam dua perlawanan terakhir musim ini menentang UiTM FC dan PDRM.

"Benar, ia memang perlawanan yang sukar.

"Kami akan mencuba untuk melakukan sesuatu dalam perlawanan menentang JDT ini.

"Seperti tahun lalu, kami dapat mengejutkan JDT (menang 1-0 di Larkin) , jadi saya mengharapkan kami dapat melakukan sesuatu ketika menentang JDT kali ini.

"Pemain PJ City juga sedar kedudukan kami dalam liga tidak berapa baik, jadi selepas ini, saya harap semua pemain dapat berusaha keras untuk bangkit ke kedudukan lebih baik," tambahnya.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment