Sabah FC umum jurulatih baru

By Muzaffar Musa 30 November 2020 1606
Sabah FC umum jurulatih baru
Pengalaman luas dalam bidang sains sukan menyaksikan Lucas Kalang Laeng dilantik sebagai ketua jurulatih baru skuad Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Pelantikan pengendali kelahiran Sarawak itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Datuk Verdon Bahanda, sekali gus menjawab status Kurniawan Dwi Yulianto yang tidak dilanjutkan kontrak.

"Sebenarnya ada tiga nama yang telah dikemukakan kepada saya tetapi ia (pemilihan ini) adalah berdasarkan beberapa kriteria yang saya sendiri tetapkan," katanya kepada Nadi Arena.

"Yang pertama, jurulatih itu hendaklah seorang yang betul-betul boleh berbahasa Melayu kerana saya tidak mahu berlaku salah faham di antara pemain dan jurulatih.

"Yang kedua, ketua jurulatih itu perlulah memahami budaya setempat, terutama di Sabah, kerana budaya kami mungkin berlainan dengan budaya pasukan-pasukan di Semenanjung (Malaysia)," katanya.

Tambahnya, skuad tambadau itu juga berhasrat untuk melanjutkan kontrak dua pemain import mereka, Petrus Shitembi dan Dennis Buschening.

"Kami berminat untuk mengekalkan dua orang pemain import kami.

"Saya telah menghubungi mereka dan proses perlanjutan kontrak itu akan kami segerakan.

"Dalam masa yang sama, kami masih mengenal pasti pemain berkualiti dari kelab di luar negara dengan bajet yang kami ada," tambahnya.

About Author

Muzaffar Musa

Comment