Badminton Jemputan BAM: Flendy, Kien Keat sukar tentukan pilihan juara 

Oleh Shaiful Shamsudin 11 Ogos 2020 160
Badminton Jemputan BAM: Flendy, Kien Keat sukar tentukan pilihan juara 
Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Flendy Limpele, menuntut barisan anak buahnya supaya mengambil serius perebutan status juara Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Saingan itu dianggap penting untuk menilai tahap prestasi setiap pemain di atas gelanggang kerana ia merupakan pemilihan ke Piala Thomas, Oktober ini.

Dua wakil profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, antara yang menjadi penghalang kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam Divisyen 1 yang bermula esok untuk membuktikan status sebagai taruhan terbaik daripada kem negara. 

"Pemain perlu menganggap saingan ini seperti dalam suasana kejohanan.

"Ini bagus buat mereka kerana sudah lama tidak dapat menyertai kejohanan," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, esok. 

Begitupun, pengendali dari Indonesia itu tidak mahu menamakan sebarang beregu yang menjadi pilihannya kerana menganggap kemampuan mereka semuanya setara dalam krisis COVID-19 ketika ini. 

"Sepanjang dua minggu latihan (di bawah pemantuan saya), mereka semua tampak bersemangat," tambahnya. 

Sementara itu, bekas jaguh negara, Koo Kien Keat, menyifatkan elemen ketenangan boleh menjadi panduan kepada calon juara. 

"Daripada segi pengalaman V Shem-Wee Kiong lebih baik. Dua beregu muda selebihnya perlu lebih tenang kerana siapa sahaja boleh menang. 

"Aaron-Wooi Yik memikul tekanan lebih besar sebab telah menjadi beregu senior sementara situasi Eei Yi-Yiew Sin lebih tenang cuma perlu buktikan bahawa mereka mampu menang. 

"Saya pilih Eei Yi-Yiew Sin kerana telah melihat mereka beraksi sejak muda lagi tetapi tidak pernah melihat Aaron-Wooi Yik secara langsung. 

"Eei Yi-Yiew Sin mempunyai kelebihan. Yiew Sin kawal di depan jaring sementara Eei Yi lebih kental dalam aspek kawalan gelanggang dan rejaman.

"Tetapi Aaron-Wooi Yik mempunyai pengalaman lebih luas misalnya dalam Kejohanan Seluruh England.

"Mereka semua berpeluang untuk menang, bergantung kepada hari perlawanan berdasarkan mentaliti dan persiapan memainkan peranan," katanya. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen