Badminton Jemputan BAM: Misi Aaron-Wooi Yik buktikan reputasi

Oleh Shaiful Shamsudin 11 Ogos 2020 100
Badminton Jemputan BAM: Misi Aaron-Wooi Yik buktikan reputasi
Perebutan status beregu lelaki nombor satu negara bakal ditentukan menerusi Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Divisyen Satu yang akan bermula esok. 

Biarpun Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak akan berdepan wakil dari kem profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dalam saingan kumpulan, ia tidak memberi kelegaan buat mereka kerana perlu menghadapi Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terlebih dahulu.

Apa yang menjadi kerisauan adalah jurang perbezaan pengalaman ketara di antara mereka di atas gelanggang.

"Peluang kami adalah 50-50. 

"Kami pernah menghadapi mereka dalam Kejohanan Terbuka Malaysia dan bersaing sengit.

"Walaupun mereka lebih senior daripada kami tetapi tahap kami hampir sama," kata Wooi Yik di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Namun, perkara paling mustahak ialah mencari rentak permainan.

"Di atas kertas, kami kena menang.

"Sudah lama kami tidak menyertai kejohanan jadi kami perlu cuba cari rentak permainan.

"Pengalaman berpihak kepada V Shem-Wee Kiong tetapi tahap fizikal kami lebih tinggi daripada mereka," kata pemain di ranking kesembilan dunia itu. 

Dalam masa sama, Aaron berikrar mengukuhkan reputasi sebagai pencabar utama di negara ini. 

"Kalau V Shem-Wee Kiong dan Yew Sin-Ee Yi bertukar tempat dengan kami sekalipun, cabaran mereka juga pasti bukan mudah.

"Kami mahu membuktikan bahawa kami adalah nombor satu negara. 

"Kami mahu muncul juara tetapi biarlah kami tumpukan satu persatu perlawanan memandangkan sudah lama tidak menyertai kejohanan," katanya. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen