Malaysia tidak terikut rentak negara lain -- Roslin

Oleh Ammar Hakim 24 Februari 2021 247
Malaysia tidak terikut rentak negara lain -- Roslin
Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim, mengegaskan Malaysia tidak perlu terikut dengan rentak negara lain yang membuat penarikan diri beramai-ramai dalam Kejohanan Seluruh England bulan depan kerana mempunyai hala tuju dan visi berbeza menjelang Sukan Olimpik Tokyo Julai depan.

Berdasarkan senarai penyertaan pemain yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia untuk Seluruh England bulan depan, terdapat sekitar 21 wakil terdiri dari Indonesia, Korea Selatan serta Taiwan menarik diri.

Nama-nama besar termasuk penyandang juara dalam Terbuka Thailand bulan lalu juga sebahagian daripada kelompok berkenaan.

China pula kekal tidak menghantar penyertaan untuk dua kejohanan di Eropah kali ini.

Roslin anggap ia sebagai percaturan negara berkenaan, kerana ada di antara mereka sudah mempunyai kedudukan selesa dalam ranking Olimpik serta dunia.

"Baik kita kekal dengan perancangan yang ditetapkan. Kami tidak perlu mengikut perancangan negara lain. Dalam keadaan sekarang, mendapatkan kejohanan amat sukar jadi mana kejohanan yang dianjurkan harus digunakan sebaik mungkin," katanya.

Namun ia bukanlah tiket untuk kem Malaysia menghela nafas lega, kerana Jepun kembali dengan pasukan terkuat mereka, selain Denmark juga turut membariskan kekuatan sama untuk saingan kali ini.

"Benar nama-nama besar tidak menyertai tetapi yang masih beraksi tidak seharusnya dipandang remeh. Mereka juga berasakan ia adalah peluang terbaik dan pemain-pemain negara tidak seharusnya mengambil mudah saingan kali ini."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen