Barcelona tenang rakam rentetan 16 kemenangan

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Mac 2021 374
Barcelona tenang rakam rentetan 16 kemenangan
OSASUNA 0 BARCELONA 2 

Pengurus Barcelona, ​​Ronald Koeman, tertarik dengan pertembungan 'derby Madrid' malam ini tetapi tidak akan diganggu dengan keputusannya tatkala perebutan gelaran LaLiga semakin hangat. 


The Catalans cemerlang dalam kunjungan ke Osasuna apabila menang 2-0, awal pagi tadi, untuk meneruskan rentak tanpa kalah LaLiga kepada 16 perlawanan bagi menghambat pendahulu, Atletico Madrid -- yang memiliki dua kelebihan perlawanan -- dengan dua mata.

Musuh ketat, Real Madrid, yang menguasai kedudukan ketiga juga mengintai kemenangan untuk mengekori Atletico juga dengan dua mata. 

Atletico semakin goyah apabila keciciran mata dalam tiga daripada lima perlawaan terakhir lantas membuka ruang buat Barca dan Madrid, namun Koeman menjelaskan bahawa dia tidak akan terkejut dengan keputusan pertembungan 'derby Madrid' itu.

"Derby di Madrid? Apa yang paling penting adalah kejayaan kami sendiri," katanya. 

"Tetapi tentu saja kami berminat untuk mengikuti perkembangannya. Apa jua keputusannya pasti bagus."


 

Jordi Alba dan pemain tengah berumur 18 tahun kelahiran Guinea, Ilaix Moriba, menemui penyudah dalam kemenangan di Osasuna itu.

Pemain remaja itu membuat kemunculan ketiga dalam LaLiga selepas bakatnya digilap menerusi akademi. 

"Ilaix masih muda, tetapi secara fizikalnya sangat kuat," kata Koeman lagi. 

"Dia semakin kerap berada bersama pasukan utama."

Dia menambah: "Ilaix menjaringkan gol dalam perlawanan yang sukar, di kedudukan 2-0 kami dapat membunuh permainan ini. Setiap kali Moriba memasuki padang, dia menawarkan tambah nilai.

"Pemain seperti Pedri, Ilaix, Riqui Puig, Ronald Araujo dan Oscar Mingueza adalah masa depan kelab.

"Kami bangga dapat memperkenalkan pemain muda tempatan. Tetapi kami tidak hanya melakukannya semata-mata kerana peminat menginginkannya, kami melakukannya kerana mereka memang layak."

Pertahanan Perancis, Samuel Umtiti, kemudian digantikan oleh penyerang, Ousmane Dembele, ketika rehat lalu mengundang penjelasan Koeman.

"Penggantian Umtiti adalah daripada segi taktikal. Kami mahu berada dalam kawalan yang lebih baik," katanya.

"Memang benar dia telah mengutip kad tetapi dia tidak memberikan tekanan dengan baik. Kami semakin meningkat dalam babak kedua."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen