FAM: Keputusan tunda liga demi kebaikan semua

Oleh Muzaffar Musa 13 Mac 2020 297
FAM: Keputusan tunda liga demi kebaikan semua
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengakui keputusan menunda perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) susulan penularan wabak Covid-19, mungkin akan membawa kemudaratan tetapi ia perlu dilakukan untuk keselamatan semua pihak.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM sebulat suara memutuskan saingan liga minggu ini akan diteruskan tanpa kehadiran penyokong dan saingan bermula minggu depan akan ditunda kepada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Keputusan itu dibuat di atas kesedaran keselamatan dan kesihatan semua pihak ekoran penularan wabak Covid-19 yang semakin menular.

Hakikatnya, saingan Liga-M musim ini bermula lewat dan dalam masa yang sama, wabak Covid-19 yang membelenggu dunia ketika ini memerlukan MFL dan FAM memerah otak bagi menyusun semula jadual perlawanan.

"Keputusan ini ditangguhkan sehingga makluman yang berikutnya.

"Kami mendengar nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan kesemua pihak berkuasa yang terbabit untuk memulakannya (menyambung liga) semula.

"Kami perlu memastikan tahap jangkitannya berkurangan dan sehingga satu tahap, kami akan memulakannya semula," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen