FAM, MFL mohon MKN benarkan Liga Malaysia dijalankan bulan depan

Oleh Muzaffar Musa 3 Februari 2021 313
FAM, MFL mohon MKN benarkan Liga Malaysia dijalankan bulan depan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar saingan Liga Malaysia dapat dibenarkan untuk berjalan bermula bulan depan.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dilanjutkan sehingga 18 Febuari ini, FAM dan MFL berharap ada kelonggaran daripada pihak kerajaan untuk membenarkan latihan secara berpasukan dan liga dapat dimulakan pada 5 Mac depan.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, bekata: "MFL mungkin sudah menghantar permohonan kami itu hari ini dan kami berharap akan mendapat maklum balas segera daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) atau MKN."

FAM dan MFL berpendapat bahawa saingan liga perlu dimulakan pada tarikh berkenaan kerana ia turut memainkan peranan dalam mempersiapkan pemain kebangsaan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan.

"Apabila sudah dapat sahaja kelulusan itu, kami akan memberikan pelepasan kepada pasukan untuk berlatih.

"Maknanya, ia bergantung kepada lampu hijau yang akan diberikan oleh KBS atau MKN.

"Seandainya ia tidak diluluskan, kami tiada pilihan dan perlu menganjakkan lagi tarikh liga bermula," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen