Fati dilahirkan untuk jaringkan gol-- Valverde

Oleh Penulis Jemputan 11 Disember 2019 270
Fati dilahirkan untuk jaringkan gol-- Valverde
Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, menyifatkan Ansu Fati memang dilahirkan untuk menjaringkan gol selepas pemain itu mencipta sejarah baru dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Fati, 17, menjadi pemain termuda menjaringkan gol dalam sejarah Liga Juara-Juara selepas menjadi wira kemenangan 2-1 Barcelona ke atas Inter Milan di San Siro awal pagi tadi.

Penyerang itu menjaringkan tiga gol musim ini dan Valverde memuji pemain muda Sepanyol itu, yang menjaringkan gol kemenangan selepas Romelu Lukaku memadamkan gol pembukaan Carles Perez dalam perlawanan terakhir Kumpulan F itu.

"Mereka (Fati dan Perez) adalah dua pemain yang menembusi pasukan utama tahun ini," katanya dalam sidang media.

"Mereka amat-amat muda, terutama Ansu.

"Perlawanan ini amat rumit, terutama buat Carles Perez, kerana mereka mempunyai pertahanan berpengalaman dan dia bermula sebagai kesebelasan utama.

"Tetapi dia menjaringkan gol kerana dia bermain dengan amat baik.

"Ansu berdepan beberapa kesukaran fizikal dengan sedikit ketidakselesaan tetapi dia memang dilahirkan untuk menjaringkan gol," katanya.

Barcelona sudah terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan 16 dan mereka menamatkan saingan itu selaku pendahulu kumpulan manakala Inter tersingkir.

Valverde turut menjelaskan kepentingan kejuaraan Liga Juara-Juara itu buat pasukannya, yang kali terakhir menjulang trofi itu pada 2015.

"Kami mempunyai tanggungjawab yang besar buat kelab dan kejohanan ini.

"Kami telah membuktikan yang kami mahu memenangi perlawanan di mana-mana dan perlawanan pada hari ini bukan satu pengecualian," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen