Flick mahu Bayern Munich pamer permainan cantik

Oleh Shaiful Shamsudin 29 November 2020 84
 Flick mahu Bayern Munich pamer permainan cantik
STUTTGART 1 BAYERN MUNICH 3 

Sungguhpun menguasai tampuk teratas Bundesliga, pengurus Bayern Munich, Hansi Flick, tidak berasakan pasukannya menampilkan permainan menarik dalam usaha mereka memenangi 'anugerah permainan cantik'.


Juara bertahan itu kembali mencatat kemenangan Bundesliga selepas diikat Werder Bremen minggu lalu dan bergelut sebelum menundukkan Stuttgart 3-1 di Mercedes-Benz Arena, awal pagi tadi. 

Tanguy Coulibaly memberi tuan rumah kelebihan pada minit ke-20 menerusi gol sulungnya tetapi Bayern memperkemaskan langkah untuk meraih mata penuh menerusi Kingsley Coman dan Robert Lewandowski menuju waktu rehat dan gol ketiga disumbangkan Douglas Costa pada lewat permainan.

Stuttgart melepaskan 15 percubaan sementara Bayern, yang melakukannya 13 kali, mengukuhkan penguasaan di persada liga dengan kelebihan dua mata -- dibantu kekalahan mengejut Borussia Dortmund kepada Cologne -- namun Flick masih mahu melihat persembahan yang lebih menarik daripada pasukannya.

"Kita semua tahu bahawa kami tidak akan dikurniakan anugerah kecantikan," katanya dalam sidang media.


 

"Oleh itu, hari ini adalah sangat penting kami mampu bangkit dan membawa pulang dengan mata penuh ke Munich. Tetapi kami juga sedar bahawa kami mampu beraksi dengan lebih baik lagi.

"Saya sedar di mana tahap pasukan ketika ini."

Di sebalik kemenangan itu, Leon Gortezka terus mempamerkan watak dominan di bahagian tengah.

Memulakan perlawanan keenamnya dalam Bundesliga musim ini, bekas tonggak Schalke itu melengkapkan 90.9 peratus hantarannya -- meletakkannya sebagai pemain dengan hantaran paling tepat -- selain berjaya merampas bola sebanyak empat kali sementara 11 kali mematahkan gerakan lawan. 

Tidak hairanlah mengapa Flick begitu kagum dengan sifat kepemimpinan pemain berusia 25 tahun itu dan yakin dia akan menjadi timbalan ketua pasukan yang hebat buat Joshua Kimmich, yang mengalami kecederaan lutut ketika menentang Dortmund awal bulan ini dan dijangka tidak akan beraksi lagi sepanjang musim 2021.

"Dia merupakan pemain tengah yang mampu mengimbangi kehilangan Joshua Kimmich," tambah pengurus Bayern itu.

"Dia keras dan memikul cabaran pasukan bersamanya. Ini antara perkara yang saya suka. Dia kini dalam proses untuk menunjukkan kualiti kepemimpinannya dalam perlawanan."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen