Frank De Boer bawa cabaran Belanda dalam Euro 2021, Piala Dunia 2022

Oleh Shaiful Shamsudin 24 September 2020 91
 Frank De Boer bawa cabaran Belanda dalam Euro 2021, Piala Dunia 2022
Frank de Boer memikul amanah sebagai pengurus baru Belanda apabila pelantikannya disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB), malam tadi. 

Ronald Koeman meninggalkan jawatan itu bulan lalu demi mengambil alih tugasan di Barcelona berikutan pemecatan Quique Setien.

De Boer, yang membuat 112 penampilan bersama skuad Oranje dan pernah beraksi dalam dua edisi Piala Dunia, telah memeterai perjanjian selama dua tahun bagi membawa cabaran dalam Kejohanan Euro 2021 dan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Pengurus berusia 50 tahun itu menikmati permulaan karier pengurusan yang memberangsang apabila membawa Ajax meraih empat gelaran Eredivisie berturut-turut di antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pelantikannya itu mungkin mengejutkan berdasarkan rekod buruknya sejak meninggalkan kelab Amsterdam tersebut. 
 
Bekas pertahanan itu hanya bertahan 85 hari ketika mengemudi Inter dan dipecat Crystal Palace selepas hanya memikul tanggungjawab berkenaan selama 10 minggu. 

De Boer memenangi Piala Terbuka Amerika Syarikat (AS) ketika membimbing kelab Liga Utama Bolasepak (MLS), Atlanta United, namun meninggalkan pasukan itu dua bulan lalu berikutan permulaan hambar musim ini. 

Dia juga berpengalaman bersama pasukan kebangsaan ketika bertindak sebagai penolong jurulatih Bert van Marwijk dalam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang menyaksikan Belanda dikecewakan Sepanyol dalam perlawanan akhir. 

Dia akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Mexico pada 8 Oktober depan sebelum menentang Bosnia-Herzegovina dan Itali dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL).
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen