Gundogan: City perlu terima peluang kejuaraan sudah musnah

Oleh Penulis Jemputan 12 Disember 2019 1149
Gundogan: City perlu terima peluang kejuaraan sudah musnah
Peluang Manchester City untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat musim ketiga berturut-turut sudah musnah, kata pemain tengah, Ilkay Gundogan.

City mengalami kekalahan keempat di peringkat domestik kepada seteru setempat, Manchester United, hujung minggu lalu.

Ia mengakibatkan mereka ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Liverpool, selepas 16 perlawanan.

Gundogan merupakan sebahagian pemain utama yang memacu kejayaan pasukannya menafikan hasrat skuad kendalian Jurgen Klopp itu musim lalu tetapi mengakui standard itu sudah menurun musim ini.

Ditanya mengenai perbezaan prestasi pasukannya ketika ini, dia berkata kepada BT Sport: "Sejujurnya, kami agak ketinggalan.

"Amat jelas, ia setakat ini musim yang sukar buat kami.

"Terdapat jurang yang besar di antara Liverpool dan kami dalam Liga Perdana.

"Kami tidak dapat menafikan yang peluang untuk meraih kejuaraan sudah musnah, jadi kami perlu terus bersaing untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

"Sejujurnya, ia amat mengecewakan.

"Selain itu, terdapat jurang yang besar pada awal musim dan kami tidak biasa dengannya," katanya.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu menjuarai musim lalu dengan 100 mata untuk mempertahankan kejuaraan yang diraih mereka dengan 98 mata dalam musim sebelumnya.

Gundogan tidak berasakan terdapat perubahan dalam suasana skuad City tetapi mengakui ia mungkin disebabkan sikap terlalu selesa dan tidak mahu berubah.

"Saya tidak fikir dinamik pasukan ini sudah semakin menurun, saya fikir ia masih sama.

"Mungkin itulah masalahnya, kami masih sama seperti dulu, mungkin kami memerlukan perubahan.

"Sejujurnya, saya tidak tahu. Saya harap minggu depan akan menunjukkan dan membutikan kepada kami laluan yang benar.

"Jika anda tidak tahu mengenai kekecewaan dan kemarahan, saya bertanya kepada diri sendiri: 'Adakah ia berbaloi untuk berjaya? Adakah berbaloi untuk bahagia?'

"Kami benar-benar memerlukan emosi itu," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen