Jota: Ronaldo adalah wira saya

Oleh Ammar Hakim 3 Disember 2020 2306
Jota: Ronaldo adalah wira saya
Penyerang Liverpool, Diogo Jota, mendedahkan die mengidolakan rakan senegaranya, Cristiano Ronaldo, ketika masih muda.

Jota, mencecah usia 24 esok, hanya 12 tahun lebih muda berbanding bintang Juventus, Ronaldo dan mengagumi pemain itu ketika meningkat usia dan kini mereka bergandingan bersama di pentas antarabangsa bersama Portugal.

Kedua-dua pemain itu telah menampilkan aksi cemerlang musim ini -- Jota meledak sembilan gol daripada 15 penampilan untuk juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sementara Ronaldo meledak sembilan gol dalam tujuh perlawanan buat penyandang juara Serie A.

Jota memberitahu The Athletic, "Kenangan terawal saya adalah dari Euro 2004 ketika Portugal mara ke final dan malangnya kami kalah. Saya berumur tujuh tahun dan saya mengingatnya dengan baik.

"Cristiano Ronaldo adalah wira saya. Pada masa itu, dia berusia 19 tahun tetapi dia sudah bermain di Euro dengan kualiti yang sangat banyak.

"Semasa kecil saya, dia berada di Manchester United dan Real Madrid. Sebagai orang Portugis, kami selalu memandangnya sebagai rujukan utama kami."



Jota bakal berdepan bekas kelabnya, Wolves, Ahad ini buat pertama kali sejak berhijrah ke Liverpool September lalu.

Dia mendakwa pengaruh pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, telah membantunya untuk bermula dengan cemerlang di Anfield.

"Saya cuba untuk menerima setiap perkara dengan hati terbuka dan menyesuaikan diri dengan secepat mungkin.

"Segalanya terletak kepada diri saya untuk mendapatkan keserasian bukan sebaliknya. Itu perkara yang telah saya lakukan dengan bantuan Jurgen.

"Dia seorang pengurus yang baik dan telah menjaga saya. Dia menjelaskan kepada saya bagaimana pasukannya berfungsi dan beroperasi.

"Kemudian ia terletak kepada pemain untuk mencari jalan menyesuaikan diri dan membuktikan kemampuan setiap kali turun beraksi."
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen