Kejohanan AFC B-19: Dua perlawanan ujian uji kombinasi anak buah Maloney 

Oleh Bernama 11 Ogos 2020 166
Kejohanan AFC B-19: Dua perlawanan ujian uji kombinasi anak buah Maloney 
Skuad B-19 negara akan diuji dalam dua perlawanan persahabatan menentang dua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menjelang Kejohanan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Ketua jurulatih, Brad Maloney, berkata perlawanan menentang pasukan Liger Super, Petaling Jaya FC, esok dan  pasukan Liga Perdana, Selangor II, Rabu depan akan menjadi pelantar tepat untuknya menilai kombinasi dan keserasian antara pemain.

“Sudah pasti, kami mahu beberapa perlawanan yang sukar. Kedua-dua pasukan lawan ini adalah pasukan yang sangat baik dengan sebilangan pemain senior jadi saya fikir ia akan menjadi ujian baik untuk anak buah saya serta melihat tahap pemain ketika ini,” katanya kepada pemberita sebelum sesi latihan di padang PKNS hari ini.

Dalam pada itu, pemain tengah, Muhammad Firdaus Muhamad Kaironnisam, enggan dibayangi kelibat bapanya, Muhamad Kaironisam Sahabuddin, yang pernah mewakili skuad kebangsaan dari 2001 hingga 2014.

Pemain berusia 17 tahun itu pada masa yang sama turut menegaskan perlu bekerja keras bagi merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain ke Uzbekistan memandangkan kesemua pemain yang dipanggil ketika ini mempamerkan keupayaan terbaik.

“Sudah banyak peningkatan dipamerkan kesemua pemain apabila kem latihan memasuki fasa kedua dan semua pemain sudah memahami peranan masing-masing.

“Bagi saya, kami perlu terus mempertingkatkan ketekalan latihan selain mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan sebab kami perlu tingkatkan kecergasan ke tahap terbaik,” jelasnya yang mesra dengan panggilan ‘Mario’ dalam kalangan rakan sepasukan.


 

Hari Ke-9 Latihan Pusat Fasa 2 Skuad B-19 Kebangsaan | 11 Ogos 2020 Skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney...

Posted by Football Association of Malaysia on Tuesday, August 11, 2020


Sesi latihan pusat Fasa 2 skuad B-19 kebangsaan yang bermula sejak Isnin lalu  akan berakhir pada 30 Ogos ini. Ia disusuli latihan Fasa 3 pada bulan depan sebelum Maloney menyenaraikan senarai akhir 23 pemain ke Uzbekistan.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D, akan memulakan kempen kejohanan menentang Tajikistan pada 16 Okt; dan Qatar (19 Okt), sebelum menamatkan aksi pusingan awal berdepan Yaman pada 22 Okt di Stadium AGMK, Olmalik.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap empat kumpulan layak ke peringkat suku akhir manakala empat pasukan yang mara ke separuh akhir, layak secara automatik ke Piala Dunia B-20, 2021 di Indonesia. 

-- BERNAMA

 
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen