Keningau ke final bola sepak SAGA

Oleh Willie Jude 11 Disember 2019 343
Keningau ke final bola sepak SAGA
Tuan rumah, Keningau layak ke final bola sepak Sukan Sabah (SAGA) 2019 selepas menewaskan Kota Kinabalu 4-3 dalam aksi separuh akhir penuh debaran di Stadium Keningau, petang tadi. 

Keningau, bagaimanapun, lebih dulu ketinggalan hasil jaringan pemain Kota Kinabalu, Johan Mansur, pada minit ke-11.

Tuan rumah yang beraksi di hadapan kira-kira 3,000 penyokong kemudian bangkit meledak dua gol untuk berada di depan hasil jaringan Fernanda De Eric (m-25) dan Hilarion Andrew (m-30) bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, Kota Kinabalu memastikan babak pertama berpihak kepada mereka selepas kembali mendahului hari jaringan Muhd Faqhrurazi (m-37) dan Rayner Doliente (m-45) bagi menjadikan kedudukan 2-3.

Usaha Keningau yang melakukan serangan bertali arus dalam separuh masa kedua akhirnya membuahkan hasil apabila menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki empat minit, seterusnya kedudukan terikat 3-3 dan perlawanan diheret ke masa tambahan. 

Nasib ternyata lebih berpihak kepada Keningau apabila Hilarion sekali lagi meledak gol pada minit pertama masa tambahan sekali gus mengesahkan tiket ke final yang akan berlangsung di stadium sama, petang esok. 

Lawan Keningau kelak ialah Sandakan yang menewaskan Tawau 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir di padang SMK Keningau 2, petang tadi. 

Dalam aksi berkenaan, dua jaringan Mohd Sahrizan Saidin termasuk satu di masa kecederaan memastikan kemenangan Sandakan.

Sementara itu bagi bola sepak wanita, Henrietta Justin meledak empat gol bagi memastikan Tambunan menang mudah 4-0 ke atas Sandakan dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Tambunan, hari ini. 

Lawan Tambunan di final nanti ialah Kota Kinabalu yang menewaskan Tenom 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir, pagi tadi. 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen