Lampard pertahan Kepa, Werner

Oleh Ammar Hakim 25 Januari 2021 1023
Lampard pertahan Kepa, Werner
Frank Lampard mengecualikan Kepa Arrizabalaga daripada kritikan dan berkata dia tidak meragui kemampuan Timo Werner selepas Chelsea menang dalam saingan Piala FA ke atas Luton Town.

Hatrik Tammy Abraham cukup untuk Chelsea mengatasi kelab Kejuaraan, Luton 3-1 semalam dan mara ke pusingan kelima.

Kesilapan ketika mendahului 2-0 daripada Kepa -- yang kini merupakan penjaga gol kedua sejak ketibaan Edouard Mendy di Stamford Bridge -- membenarkan Jordan Clark mengurang defisit jaringan buat Luton.

Bagaimanapun, Kepa memperbaiki kesilapan itu dengan menafikan percubaan Harry Cornick sebelum Abraham melengkapkan kemenangan Chelsea.

Werner, yang meledak sekali dalam 16 perlawanan, gagal menyempurnakan sepakan penalti dan kemarau jaringannya terus berpanjangan.

Kali terakhir dia menjaringkan gol dalam saingan liga -- 7 November -- Werner melakukan 21 percubaan, dengan tujuh daripadanya menepati sasaran, sementara pemain kebangsaan Jerman itu turut terlepas tujuh peluang terhidang.

Lampard bagaimanapun memahami Kepa dan Werner malah menegaskan penjaga gol itu tidak seharusnya dipersalahkan atas jaringan Luton, sementara kekal optimis dengan kemampuan penyerangnya itu.

"Kepa menafikan peluang terbaik pasukan lawan dan ia boleh menjadikan kedudukan 2-2," kata Lampard.

"Mudah untuk mengkritiknya tetapi dia kekurangan masa beraksi. Dia menampilkan prestasi cemerlang dalam sesi latihan dan dia telah mempamerkannya dalam perlawanan ini.
 

"Degan Timo, saya kecewa buat dirinya. Dia telah beraksi dengan baik, ancaman sepanjang perlawanan dan bergandingan baik bersama Tammy, dengan pemain-pemain lain.

"Ia boleh berlaku kepada sesiapan. Saya turut pernah gagal menyempurnakan penalti. Saya mengetahui perasaan itu. Saya mengetahui dia akan berasa kurang yakin tetapi ia tidak akan bersifat berpanjangan.

"Ia merupakan tugas saya dan rakan sepasukan yang lain untuk meyakinkan dirinya.

"Saya percaya dan yakin hanya masa yang diperlukan sebelum dia kembali mendapatkan sentuhan terbaiknya."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen