Peguam Maradona kritik tindakan lembab petugas kesihatan 

Oleh Shaiful Shamsudin 27 November 2020 1624
 Peguam Maradona kritik tindakan lembab petugas kesihatan 
Peguam Diego Maradona, Matias Morla, mengkritik pegawai kesihatan atas kelewatan mereka memberi bantuan kepada bekas bintang Argentina dan Napoli itu. 

Ketua jurulatih Gimnasia y Esgrima La Plata itu -- diangkat selaku pemain terhebat bola sepak -- meninggal dunia pada usia 60 tahun, semalam.

Maradona dikeluarkan dari hospital dua minggu lalu selepas menjalani pembedahan otak bagi mengeluarkan darah beku selepas diserang anemia dan dehidrasi.

Ribuan orang berkumpul untuk mengucapkan selamat tinggal kepada legenda bola sepak itu di Buenos Aires, semalam, dengan negara berkenaan akan berkabung selama tiga hari sambil keranda Maradona yang ditempatkan di Casa Rosada -- rumah agung presiden negara itu -- dengan diletakkan bendera Argentina sebelum jasadbta dibawa ke tanah perkuburan.

Selepas kematiannya, Morla mengecam anggota kecemasan sambil meminta kejadian itu disiasat dengan lebih terperinci.

 


"Hari ini adalah hari keperitan, kesedihan dan renungan yang amat mendalam. Saya meratapi pemergian seorang teman yang saya amat hormati sepanjang persahabatan kami selama ini," kata Morla dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui saluran media sosialnya. 

"Saya mengucapkan selamat tinggal kepadanya secara langsung dan berilah ruang kepada keluarganya.

"Daripada segi laporan Pendakwa Raya San Isidro, tidak dapat dijelaskan mengapa selama 12 jam rakan saya ini tidak mendapat bantuan atau pemeriksaan daripada kakitangan (kesihatan) yang dikhaskan untuk tujuan ini. Ambulans pula mengambil masa lebih dari setengah jam untuk tiba, kebodohan ini adalah satu jenayah.

"Perkara ini tidak boleh dilupakan dan saya akan meminta agar perkara ini disiasat hingga puncanya diketahui. Seperti yang diberitahu oleh Diego kepada saya, 'anda adalah askar saya, bertindaklah tanpa belas kasihan'.

"Untuk mendefinisikan Diego pada saat kesunyian dan kesakitan yang mendalam ini, saya hanya mampu mengatakan: Dia adalah seorang anak yang baik, dia adalah pemain bola sepak terbaik dalam sejarah dan dia adalah orang yang jujur. Semoga anda bersemadi dengan tenang, saudara."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen